“Saya tak boleh menjanda lama-lama” – Ina Naim dedah sebab mahu kahwin, perlu suami untuk bimbing anak-anak
Sejak pemergian suami tercinta iaitu Allahyarham Suhaimi Saad, penyanyi Ina Naim memberitahu dia tidak boleh bersendirian dan memerlukan teman hidup dalam membesarkan anak-anak.
Menurut Ina atau Nordiana Mohd Naim, 40, kehadiran bakal suami iaitu Mohd Khairul Rizal Mohd Shukor diharap dapat membantunya meneruskan usaha mendidik dan membimbing anak-anak yang sedang membesar.
“Alhamdulillah, anak-anak sekarang sebenarnya mereka sudah mula belajar dengan bakal bapa terutamanya Feroz dan Laila kerana banyak masa. Mereka juga selalu berhubung melalui telefon untuk belajar.
“Anak-anak memang tidak ke sekolah tetapi mereka kena belajar. Disebabkan itu saya tidak boleh menjanda lama-lama duduk seorang (sendiri) kerana saya tidak boleh uruskan anak-anak yang meningkat usia remaja.
“Anak-anak saya perlu belajar disebabkan itu saya memerlukan seseorang (suami) untuk teruskan pembelajaran setelah ayah mereka meninggal dunia.
Ina berkongsi perkara itu rakaman siaran langsung yang dimuat naik semula di aplikasi TikTok.
Dalam perkongsian tersebut, Ina dilihat terbuka bercerita mengenai majlis perkahwinannya yang akan berlangsung pada 8 November ini.
Kata Ina, majlis itu dilakukan secara sederhana dan memohon maaf kerana hanya menjemput keluarga dan rakan terdekat.
“Saya jemput kawan-kawan terdekat. Minta maaf tak dapat jemput semua kerana saya tidak buat majlis besar pun. Minta maaf banyak-banyak kepada netizen dan kawan-kawan di TikTok, kalau boleh memang saya nak jemput semua.
“Saya buat sekadar majlis nikah sahaja dan menjamu makan untuk beberapa saudara dan rakan-rakan terdekat sahaja.
“Saya bukan anak dara atau orang muda lagi. Saya sudah tua dan ada anak-anak. Takkan kita nak duduk atas pelamin untuk bersanding. Jadi saya buat perkara yang wajib sahaja iaitu bernikah dan jamu makan,” ujarnya.
Sebelum ini, timbul khabar angin bahawa Ina bakal bernikah dengan seorang duda anak dua yang dikenali sebagai Mohd K pada 8 November ini.
Ina bagaimanapun mengesahkan perkara itu kepada media dan tidak berniat untuk merahsiakan berita pernikahan tersebut.
Untuk rekod, Ina mendirikan rumah tangga dengan Suhaimi pada 12 Oktober 2007 dan mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ehmad Hadie Elfardie, Sallman Elkhoyri, Phyrosh Elfadwah dan Nur Layla Elghufrony.
Suhaimi kemudiannya meninggal dunia pada 15 November tahun lalu akibat masalah kesihatan yang juga menyebabkan organ dalaman tidak berfungsi.
Suhaimi juga merupakan bekas anggota kumpulan nasyid Inteam.