Elaun perumahan ahli Parlimen Indonesia cetus kontroversi

Elaun perumahan ahli Parlimen Indonesia cetus kontroversi

 

Dasar kerajaan Indonesia yang memberikan elaun perumahan bulanan puluhan juta rupiah kepada ahli Parlimen yang baharu dilantik menimbulkan kekecohan dalam kalangan orang awam.

Setiausaha Agung Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) memutuskan untuk menghentikan penyediaan rumah rasmi kepada 580 ahli Parlimen baharu dan menggantikannya dengan pemberian elaun perumahan bulanan, lapor The Jakarta Post.

Keputusan itu ditandatangani oleh Setiausaha Agung DPR, Indra Iskandar, pada 25 September, sebelum ahli Parlimen yang baharu dilantik mengangkat sumpah.

Indra berkata, semua anggota Dewan diarah mengosongkan kediaman rasmi mereka di kompleks perumahan Kalibata di Jakarta Selatan selewat-lewatnya akhir Oktober kerana banyak rumah tidak boleh didiami lagi.

Pada 7 Oktober, Indra menyatakan bahawa ‘hanya 45 peratus daripada 596 bangunan di kompleks perumahan rasmi DPR di Kalibata, boleh didiami’.

Beliau berkata, penggubal undang-undang sering mengadu mengenai tikus dan kebocoran di siling serta dinding semasa musim hujan.

Beliau berkata bahawa satu lagi sebab bagi dasar baharu itu ialah pada masa lalu, ramai penggubal undang-undang, khususnya dari Jakarta, tidak menetap di Kalibata.

Mereka lebih suka tinggal di rumah persendirian dan sebaliknya, kakitangan mereka yang tinggal di kediaman rasmi tersebut.

Jumlah elaun perumahan bulanan baharu itu masih tidak jelas, tetapi laporan mengatakan bahawa setiap ahli Dewan akan menerima sekitar 50 juta rupiah (RM13,736), kira-kira 10 kali ganda gaji minimum Jakarta.

Jika angka bulanan itu betul, 348 bilion rupiah (RM94.96 juta) akan dibelanjakan setiap tahun untuk membayar penginapan penggubal undang-undang, sekali gus mencetuskan kritikan hebat dalam kalangan aktivis dan orang awam.

Pengkritik berkata dasar itu tidak sensitif kepada orang awam, memandangkan ramai rakyat sedang bergelut untuk membeli rumah di tengah-tengah keadaan ekonomi semasa.

Kerosakan di kompleks perumahan Kalibata dikatakan kecil dan boleh dibaiki dengan mudah.

Dasar baharu itu juga dikatakan telah dijadikan sebagai alasan untuk penggubal undang-undang meningkatkan pendapatan mereka supaya dapat menikmati gaya hidup mewah, mendorong pengguna media sosial mempersoalkan keputusan itu.