“Adik nak beli masa ayah 1 jam” – Mula-mula tanya gaji kemudian ‘offer’ nak hulur RM10, bapa terkejut dapat tahu helah anak

“Adik nak beli masa ayah 1 jam” – Mula-mula tanya gaji kemudian ‘offer’ nak hulur RM10, bapa terkejut dapat tahu helah anak

 

Hubungan antara seorang ayah dan anak perlu dipelihara dengan sebaiknya.

Namun ia tidak semudah yang disangka, lebih-lebih lagi apabila seorang ayah itu sibuk membanting tulang mencari rezeki bagi menyara keluarga.

Melalui satu perkongsian di laman TikTok, seorang lelaki bergelar bapa menceritakan kisah yang membuatkan dia tersentak.

Menurutnya, dia ketika itu baru pulang ke rumah dari tempat kerja dan terkejut apabila mendapati anak kecilnya yang berusia 5 tahun masih belum tidur.

“Waktu sampai rumah, saya nampak anak duduk tercegat depan pintu menunggu kepulangan saya. Sebak pula hati ni, sudah lewat malam kenapa anak belum lelapkan mata.

“Saya pun pergi bersembang dengan anak, rupanya dia ada sesuatu yang nak ditanyakan kepada saya. Soalannya berbunyi begini… berapa gaji ayah untuk satu jam bekerja? Allahuakbar, memang tiba-tiba betul pertanyaan anak ni.

“Dalam hati ni bercampur baur perasaan, saya sedar gaji saya tak sebesar mana, hanya dibayar RM10 untuk setiap jam bekerja.

“Tapi mata anak duduk memandang saya dengan penuh rasa ingin tahu, menantikan jawapan yang ditunggu-tunggu. Saya pun jujur beritahu dia, RM10 nak,” imbas lelaki itu hiba.

Lelaki tersebut kemudiannya terkedu apabila mengetahui ‘helah’ anaknya bertanyakan soalan sebegitu.

“Selepas saya jawab soalan tu, secara mengejut wajah anak bertukar ceria, dia terus cakap begini kepada saya… adik ada simpan duit RM10boleh ke kalau adik nak beli masa ayah selama 1 jam je?

“Anak seterusnya minta saya pulang kerja awal pada esok hari kerana dia ingin habiskan masa bersama saya. Bergenang air mata jantan ni,” kata lelaki itu terdetik keinsafan.

Menjengah ke ruangan komen, warga maya turut berkongsikan pengalaman serupa bersama anak masing-masing.

“Aku pernah balik kerja, tiba-tiba anak datang dekat aku bagi RM2, rupanya dia nak ajak aku jalan-jalan. RM2 yang dia bagi tu untuk belanja duit minyak naik motor, anak minta ronda kawasan taman je, asalkan boleh luangkan masa dengan aku.

“Itulah dilema seorang ayah, setiap hari berjanji nak buat aktiviti sekali tapi selalu kena tangguh, mesti ada je berlaku hal dekat pejabat. Ya Allah tolong la berikan aku kelapangan waktu. Duit sudah ada, tapi masa pula suntuk.

“Aku dulu sejenis suka lepak mamak dengan kawan sampai pukul 1 pagi lepas balik kerja. Ada satu malam tu waktu aku balik rumah, anak aku belum tidur, dia cakap macam ni dekat aku… abah jangan keluar malam lagi.

“Rupanya dia rindu nak bermain sekali dengan aku, tersentap terus hati ni,” ujar warga maya.