Media Indonesia dakwa Malaysia untung ada ‘harta karun’ bernilai RM2.94 trilion

Media Indonesia dakwa Malaysia untung ada ‘harta karun’ bernilai RM2.94 trilion

 

Malaysia kini dilihat sebagai ‘harta karun’ dalam dunia teknologi dengan beberapa tahun kebelakang ini telah berjaya menarik beberapa pelaburan daripada syarikat teknologi terbesar dunia yang berpusu-pusu membina pusat data dan teknologi kecerdasan buatan (AI) di sini.

Media Indonesia melihat langkah Malaysia ini bermakna dan positif untuk industri tempatan selepas laporan P&S Intelligence meramalkan pertumbuhan pesat ‘harta karun’ dalam sektor ini dijangka mencecah AS$ 622.4 bilion (RM2.94 trilion) menjelang 2030.

Antara syarikat terbesar yang datang ke Malaysia adalah ByteDance yang melabur sekitar RM10 bilion, Google juga datang ke Malaysia dengan pelaburan bernilai AS$ 2 bilion, Microsoft juga tidak mahu ketinggalan dengan pembelian 49 hektar tanah di Johor yang bernilai AS$ 2.2 bilion, manakala Oracle pula mengumumkan pelaburan bernilai US$ 6.5 bilion di Malaysia.

Kalau dahulu, Virginia Utara di Amerika Syarikat dianggap sebagai pasaran pusat data terbesar di dunia.

Bagaimanapun, dengan permintaan yang semakin meningkat, rantau ini tidak mampu lagi menyerap semua keperluan syarikat teknologi besar.

Disebabkan itu, Malaysia telah dianggap sebagai destinasi utama bagi syarikat-syarikat ini untuk datang dan bekerjasama dalam membina pusat kemudahan yang menampung teknologi dunia moden.

Lokasi Malaysia yang berhampiran dengan Singapura juga merupakan salah satu faktor utama kenapa syarikat-syarikat ini ingin melabur di Malaysia.

Rangu Salgame, ketua pegawai eksekutif Princeton Digital Group  berkata bahawa pembinaan kemudahan pusat data di Johor bukan sahaja untuk keperluan tempatan tetapi juga untuk keperluan AI di peringkat global.

Pertumbuhan pesat industri pusat data dan teknologi AI akan menjadikan Malaysia sebagai salah satu pusat utama yang akan membangun dalam masa terdekat.

Ini juga membuka ruang kepada syarikat startup tempatan untuk mengambil bahagian dalam industri yang semakin berkembang dengan tumpuan yang lebih besar kepada inovasi masa depan yang lebih baik sambil memanfaatkan bakat baharu yang ada di Malaysia.