Trend solat jemaah dengan kipas satu tindakan jahil dan persenda Islam, tegas Mufti Pulau Pinang
Semua pasti bersetuju kalau kami katakan setiap hari pasti ada sahaja trend terbaharu di media sosial khususnya di TikTok yang akan menjadi ikutan orang ramai.
Namun apa yang menyedihkan apabila ada segelintir darinya yang kelihatan bercanggah di sisi agama Islam. Contoh yang paling baharu tentunya trend solat jemaah dengan kipas, yang mana rata-ratanya dilakukan oleh individu berstatus bujang yang kononnya sedang bersolat bersama pasangan masing-masing.
Bukan sahaja menerima kecaman netizen, bahkan isu ini turut mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad yang meminta orang ramai agar tampil melaporkan kepada pejabat agama negeri masing-masing sekiranya terlihat perbuatan tersebut di media sosial.
“Jika niat persenda ibadat, maka dikira murtad”
Terbaharu, Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor pula menegaskan bahawa trend tular itu jelas merupakan satu perbuatan jahil dan mempersendakan agama Islam.
Perbuatan mempersendakan agama sebegini bukan sahaja berdosa besar dan boleh merosakkan akidah seseorang, bahkan ia juga satu bentuk penghinaan terhadap agama Islam justeru perlu diadili di mahkamah syariah.
“Rasanya isu ini tidak perlu komen banyak, sudah jelas pelakunya sama ada jahil atau tidak siuman. Jika pelaku berniat untuk mempersenda ibadat, maka dia dikira murtad dan wajib bertaubat.
“Masyarakat perlu sedar bahawa perbuatan mempersendakan atau memperolok-olokkan ibadat adalah berdosa dan boleh merosakkan akidah keimanan seorang Muslim,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambah beliau, pihak berkuasa juga harus menyiasat dengan segera dan memeriksa sama ada pelaku adalah seorang yang siuman, mengalami masalah mental atau sebaliknya.
“Saya harap pihak berkuasa segera menyiasat dan bertindak selaras dengan hasil siasatan.
“Jika pelaku didapati sengaja mempersendakan agama atau ibadah, maka dia perlu diadili di mahkamah syariah dan dihukum mengikut undang-undang sedia ada,” katanya lagi.