Jangan silap makan panadol! Ini jenis-jenis panadol yang wajib kita tahu fungsinya
Sejak kebelakangan ini, panadol semakin popular. Ini semua kerana mereka yang mempunyai simptom demam selepas divaksin, diminta untuk menelan panadol.
Sebenarnya, keperluan mengambil panadol baik sebelum atau selepas disuntik adalah berbeza kerana bergantung kepada tahap kesihatan masing-masing.
Bukan itu sahaja, jenis-jenis panadol juga berbeza-beza bergantung kepada fungsinya.
Prihatin untuk berkongsi mengenai jenis-jenis panadol, seorang pegawai farmasi, Amir Said melalui Twitternya tampil memberi penerangan.
Tulisnya, panadol (nama brand) atau paracetamol (PCM) dipanggil acetaminophen di Amerika Syarikat.
Merujuk portal antarabangsa webmd.com, panadol secara amnya digunakan untuk mengubati sakit-sakit ringan sehingga sederhana seperti sakit kepala, senggugut, sakit gigi, sakit belakang, osteoartritis, selesema dan mengurangkan demam.
Berikut beberapa jenis-jenis panadol yang dijual di pasaran, dos yang dicadangkan dan fungsi seperti yang dikongsi pegawai farmasi tersebut.
Baca betul-betul fakta berkenaan.
i) Panadol Actifast (PCM 500mg, Sodium 173mg).
Fungsi sodium adalah mempercepatkan penyerapan PCM pada usus kecil.
Jadi, kita akan dapat merasakan kesannya dengan lebih cepat kerana kandungan sodium tinggi, kata Amir.
Namun, panadol jenis itu tidak sesuai untuk pesakit darah tinggi.
Dos: 2 biji setiap 4 hingga 6 jam sehari.
ii) Panadol Optizorb (PCM 500mg).
PCM jenis itu mengandungi calcium carbonate, alginic acic dan crospovidone.
Hasilnya, ubat akan lebih cepat hancur di dalam badan dan PCM lebih mudah dan cepat diserap.
Kesannya dapat dirasai seawal 15 minit tau!
PCM jenis itu tidak mempunyai sodium, jadi ia sesuai untuk pesakit darah tinggi.
Dos: 2 biji setiap 4 hingga 6 jam sehari.
iii) Panadol Extra (PCM 500mg, Caffeine 65mg).
PCM dan kafein digunakan untuk mengurangkan sakit yang teramat sangat.
Sesuai untuk masalah sakit kepala, migrain, sakit belakang, sakit gigi dan lain-lain.
Bagaimanapun, ia tidak sesuai untuk wanita hamil dan menyusukan anak kerana mempunyai kandungan kafein.
Dos: 2 biji setiap 4 hingga 6 jam sehari.
iv) Panadol Soluble (PCM 500mg, Sodium 427mg).
Sesuai digunakan oleh pesakit yang sukar untuk menelan ubat jenis tablet.
Mudah sahaja, caranya, hanya larutkan ubat dalam satu gelas air.
Memandangkan PCM ini mempunyai kandungan sodium yang tinggi, ia tidak sesuai untuk penghidap darah tinggi.
Dos: 2 biji setiap 4 hingga 6 jam sehari.
v) Panadol Menstrual (PCM 500mg, Pamabrom 25mg).
Ia digunakan untuk wanita yang mempunyai masalah senggugut ketika datang haid.
Ini kerana pamabrom mempunyai kesan diuresis yang boleh menyingkirkan lebihan air yang terkumpul disebabkan perubahan hormon semasa datang haid.
Dos: 2 biji setiap 4 hingga 6 jam sehari.
vi) Panadol Extend (PCM 665mg).
PCM ini mempunyai dua lapisan bagi memanjangkan tempoh penyerapan ubat.
Kesan ubatnya akan lebih lama iaitu menjangkau lapan jam dan ia sesuai untuk pesakit kronik.
Dos: 2 biji setiap 6 hingga 8 jam 3 kali sehari.
“Ingat ya, maksimum dos untuk PCM hanya 4000 miligram atau 4 gram sehari sahaja. Jangan ambil lebih daripada yang sepatutnya,” pesan Amir.
Jadi, ringkasnya, tidak perlu ambil panadol selepas disuntik vaksin sekiranya tiada sakit-sakit badan mahupun tidak demam ya.