UMNO ‘ugut’ Ismail Sabri, bubar parlimen atau dipecat
Mesyuarat Biro Politik Umno Rabu lalu ‘tegang’ dan tekanan diberikan terhadap Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob supaya segera mengadakan pilihan raya umum atau dipecat daripada parti.
Menurut sumber parti dan kerajaan, ada pemimpin Umno yang hadir pada malam itu meninggikan suara terhadap perdana menteri, khususnya berkaitan hukuman penjara terhadap bekas perdana menteri Najib Razak.
Malaysiakini juga difahamkan biro politik Umno juga menzahirkan rasa kurang senang atas keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara ke atas Najib berhubung kes penyelewengan dana SRC International.
Segelintir pemimpin Umno menyatakan kurang senang terhadap Ismail Sabri kerana tidak campur tangan dalam kes Najib.
Oleh itu mereka dikatakan menggesa perdana menteri supaya segera mengadakan pilihan raya umum (PRU) ke-15 atau berdepan tindakan parti.
“Ismail Sabri berdepan tekanan dalam mesyuarat itu berhubung hukuman penjara yang dikenakan terhadap Najib kerana dia tidak membantu atau campur tangan.
“Oleh itu perdana menteri digesa supaya segera mengadakan PRU ke-15, itu antara tuntutan pemimpin Umno pada malam itu.
“Beliau juga diberi kata dua dan bakal berdepan tindakan lanjut, termasuk dipecat,” katanya kepada Malaysiakini.
Sumber bagaimanapun tidak mendedahkan penjelasan dan pendirian Ismail dalam mesyuarat itu.
Pemimpin Umno dan Ismail sendiri sebelum ini menafikan terdapat gesaan supaya kerajaan campur tangan dalam kes mahkamah Najib.
Ismail Sabri hadir pada mesyuarat yang berlangsung sehingga jam 11.30 malam itu.
Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi mempengerusikan mesyuarat berkenaan.
Tiada kenyataan media dikeluarkan selepas tamat acara dan tiada pemimpin Umno yang melayan soalan petugas media yang berkampung di situ sejak awal malam.
Selain presiden, biro politik Umno dianggotai oleh pemimpin-pemimpin kanan dan ketua-ketua sayap serta ketua-ketua perhubungan negeri.
Sementara itu, biro politik juga dikatakan menyentuh mengenai pengampunan diraja kepada Najib yang juga ahli parlimen Pekan.
Esok Umno akan bertemu ketua-ketua bahagiannya seluruh negara untuk menjelaskan hasil mesyuarat biro politik, PRU ke-15 dan hukuman penjara ke atas Najib.
Sementara itu The Vibes melaporkan Umno menuntut beberapa tindakan segera yang perlu diambil oleh perdana menteri jika tidak berdepan risiko hilang jawatan sebagai naib presiden Umno.
Tiga tuntutan itu ialah penyingkiran peguam negara, penyingkiran ketua hakim megara dan mendapatkan pengampunan diraja untuk Najib.
Fitnah, kata Ahmad Maslan
Sementara itu, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan menafikan pemimpin parti itu memberi kata dua itu kepada Ismail.
“Palsu, fitnah,” katanya kepada Malaysiakini.
Sementara itu, terdapat juga sumber lain daripada Umno yang menafikan perkara itu.
“Kata dua dan ugutan untuk pecat tidak langsung dibincangkan dalam biro politik.
“Memang ada kumpulan yang beremosi bercakap perkara ini, tapi ia bukan dalam mesyuarat biro politik.
“Dan ada yang nak ambil kesempatan,” katanya kepada Malaysiakini selepas laporan ini disiarkan.