‘Siapa kalah, kena belanja’ – Apa hukumnya?
Ungkapan ‘Siapa Kalah, Kena Belanja’ memang sudah menjadi kebiasaan dalam kehidupan masyarakat di Malaysia.
Rasanya sejak dari zaman persekolahan lagi amalan ini telah dipraktikkan oleh kanak-kanak sehinggalah meningkat dewasa ketika memasuki alam pekerjaan.
Tetapi, merujuk kepada satu hantaran di Facebook oleh Dr. Zaharuddin Abd Rahman, perbuatan tersebut adalah haram kerana melibatkan unsur judi.
Untuk penjelasan lebih lanjut mengenai ‘Siapa Kalah, Kena Belanja’, sila rujuk perkongsian yang dibuatnya berikut:
SIAPA KALAH KENA BELANJA
Apakah hukum bersukan berdua seperti bermain bowling, tennis, badminton atau lainnya dan sesiapa yang KALAH perlu belanja makan?
Saya jawab hukumnya adalah JUDI kerana wujud elemen ‘zero sum game’. Walaupun penyertaan kelihatan tiada yuran tapi hakikatnya ia beryuran kerana kedua-dua pihak berpotensi dibebani dengan KOS makanan yang tidak pula diketahui jumlahnya.
Hal seperti ini telah wujud sejak zaman dahulu kala lagi, hingga ia dicatatkan contoh sepertinya oleh ulama silam dengan kata:-
لا يجوز لأنه في معنى القمار نحو أن يقول أحدهما لصاحبه : إن سبقتني فلك عليّ كذا , وإن سبقتك فلي عليه كذا فقبل الآخر
Ertinya: “Tidak harus (haram) kerana terdapat dalamnya erti atau unsur judi seumpama seorang berkata kepada rakannya: Sekiranya engkau tewaskan aku maka bagiku hadiah itu dariku, dan jika aku menewaskanmu, mestilah engkau memberinya kepadaku, lalu kedua-duanya bersetuju” (Badai As-Sonaie; Al-Kasani)
Ia adalah judi walaupun ada unsur usaha dari kedua belah pihak dan bukan permainan nasib semata. Unsur judinya datang dari sudut hadiah, seolah-olah kedua-dua pihak meletakkan sejumlah wang untuk membayar sewa gelanggang, hanya yang kalah akan terkena. Ia tetap judi walaupun kedua-dua pihak redha meredhainya. Tiada redha dalam perihal haram.
Namun jika hanya salah seorang yang menjanjikan hadiah, seorang lagi tidak, hukumnya berubah menjadi harus atau halal. Ia adalah ijtihad hukum dari ulama mazhab Al-Hanafi, Syafie dan Hanbali (Rujuk kitab Tabyin Al-Haqaiq, Az-Zaila’ie, 6/227 ; Qawanin Al-Ahkam, Ibn Juzai, hlm 177 ; Hasyiah Al-Qalyubi, 4/266 ; Al-Insaf, Al-Mardawi, 6/93)
Wallahu ‘alam.
Sebab itu kita kena belajar hukum dalam muamalat.
Saya cuba membantu dengan menyediakan suatu kursus dalam bentuk video tersusun silibusnya bagi masyarakat kita dapat pelajari ilmu halal haram dalam bisnes dan urusan kewangan dari kursus ini. Semoga ia dapat sedikit sebanyak membantu memugar kesedaran beragama dalam urusan kewangan dan perniagaan.
https://mycourse.my/courses/fiqh-muamalat-dan-isu-semasa-kewangan/?fbclid=IwAR3yHUxoPyC7Z59QqMyTAE0R1_DjWavdg2lrLdYRGn3qQSG0ZrqZQrniSZw
Dr. Zaharuddin Abd Rahman