Tolonglah… Henti budaya lantikan penasihat khas menteri dan duta khas bertaraf menteri

Tolonglah… Henti budaya lantikan penasihat khas menteri dan duta khas bertaraf menteri

1. Apakah keperluan penasihat-penasihat khas dan tiga duta bertaraf menteri dilantik? Adakah sekadar untuk memberikan ruang untuk budaya politik penawaran jawatan dan kedudukan kembali berleluasa? Adakah kedudukan ini mempunyai imbuhan tertentu yang akan dibelanjakan menggunakan dana negara? Adakah Jemaah Menteri selepas daripada ini akan memerlukan lebih ramai penasihat? Adakah penjawat awam sedia ada tidak layak untuk menasihati Menteri kerajaan yang dipimpin oleh Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob ini?

2. Apakah akan wujud akses terhadap projek-projek yang melibatkan kesihatan awam dan infrastruktur yang akan dibahagi dalam kelompok kleptokrat? Ini adalah persoalan yang perlu dijawab oleh pentadbiran kini. Apa yang jelas adalah “Kabinet Menteri Gergasi” terdahulu dan kini tiada bezanya dari segi keberkesanan kos.

3. Inilah hasil “jasa dan pengorbanan” pentadbiran Perikatan Nasional yang kononnya menolak kelompok kleptokrat yang pada hakikatnya telah mengembalikan mereka semula untuk duduk ditampuk pimpinan.

4. Perbanyakan jawatan bagi tujuan habuan adalah keutamaan pentadbiran kini yang tidak jauh beza dengan Perikatan Nasional. Budaya yang bersifat berkepentingan mengagihkan laba politik mesti dihentikan.

5. Sekiranya jumlah anggota pentadbiran kerajaan dapat diminimakan, PEJUANG Muda percaya bahawa kebajikan rakyat akan dapat dijaga serta perbelanjaan sumber kewangan negara akan dapat difokuskan lebih bagi tujuan memerangi COVID-19.

6. Usaha dan langkah terbaik adalah dengan mewujudkan Kabinet Menteri dalam jumlah yang lebih kecil dan menghentikan budaya pelantikan penasihat yang tidak memainkan peranan penting dalam pentadbiran negara dan memanfaatkan khidmat penjawat awam seperti Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) dalam setiap kementerian bagi hal-hal berkaitan dasar. Hal ini sekaligus dapat memberikan latihan mantap bagi penjawat awam untuk lebih memperluas pengalaman dalam urusan pentadbiran kerajaan.

7. PEJUANG Muda juga menolak budaya lantikan ahli keluarga politik sebagai pemegang jawatan berkepentingan seperti yang berlaku baru-baru ini bagi jawatan Pengerusi NAFAS yang merupakan abang kepada Perdana Menteri dan lantikan baru Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli yang merupakan adik kepada Ahli Parlimen Cameron Highlands.

8. Lantikan sebegini tidak langsung mempamerkan konsep “Keluarga Malaysia”, bahkan lebih kepada sentimen “Keluarga Sendiri”. Rakyat perlu menghentikan sifat ketamakan ahli politik sebegini demi kepentingan bangsa dan Tanah Air.

AKIF RUSLI
Ketua Penerangan PEJUANG Muda Malaysia Parti Pejuang TanahAir (PEJUANG)