Gara-gara bapa nikah di Siam, anak jadi mangsa terkahwin dengan abang sendiri
Banyak pancaroba yang perlu dilalui oleh pasangan berumah tangga, ada perkara yang tidak dapat diselesaikan dan mengakibatkan perceraian.
Baru-baru ini, tular sebuah kisah di Facebook di mana seorang wanita terkejut apabila baru tahu perkahwinannya selama ini tidak sah kerana suaminya itu merupakan abang kandung sebapa dengannya.
Perkongsian Peguam Syarie dan Konsultan Perundangan Islam, Fahmi Ramli menerusi Facebook miliknya menceritakan wanita tersebut telah bercinta selama tiga tahun dengan lelaki itu dan merancang untuk berkahwin selepas tamat belajar.
Tiada sebarang kecurigaan berlaku ketika mereka ingin menikah kerana bapa wanita itu telah pun meninggal dunia, begitu juga ayah kepada bakal suaminya itu.
“Selepas 2 tahun pernikahan itu, sewaktu wanita ini bersembang kosong dengan ibu mertuanya, terungkitlah kisah yang dia dulu ada berkahwin dengan ayah kepada suaminya tersebut di Sempadan Thailand tanpa pengetahuan sesiapa.
Hinggalah selepas anak mereka dilahirkan iaitu suami wanita ini sekarang, suaminya menceraikannya.
Dan kemudian, tidak pernah ambil peduli tentang mereka berdua, dan ibu mertuanya ini pun tak pernah terfikir untuk membuat pengesahan nikah,” tulisnya.
Wanita tersebut kemudian membuak-buak perasaan ingin tahunya untuk mengetahui adakah bapa kepadanya dan suaminya adalah orang yang sama.
Dia terkejut apabila ianya sah yang dia telah berkahwin dengan abangnya sendiri, berdasarkan nama serta nombor pasport yang tertera di sijil nikah ibunya itu serta rupa fizikalnya.
Jelas peguam syarie itu, pernikahan mereka ini perlu tidak sah taraf dan perlu difailkan segera di bawah permohonan faraq nikah di Mahkamah Rendah Syariah.
“Anak kepada hasil perkahwinan wanita ini, boleh dianggap sebagai anak persetubuhan syubhah.
Disebabkan ibu dan bapa tersebut tidak mengetahui yang mereka adalah saudara, maka anak tersebut perlu dibuat Permohonan Pengesahan Nasab selepas perkahwinan mereka difaraqkan.
Anak tersebut boleh terima nafkah daripada bapanya, boleh mewarisi dan boleh diwalikan oleh bapanya,” jelasnya.
Fahmi juga mengingatkan orang ramai supaya mengambil ikhtibar kisah ini dan tidak berkahwin secara sembunyi kerana bimbang berlaku kemudaratan pada masa akan datang.