Bekalkan anak daging Wagyu ke sekolah, Nabila Huda tak kisah bermewah bab makan
Baru-baru ini, perkongsian pelakon Nabila Huda menjadi perhatian ramai apabila memuat naik video menyediakan bekal makanan untuk ankanya, Keisha Laila untuk dibawa ke sekolah.
Apa yang lebih menjadi perhatian apabila Nabila menyediakan daging jenis wagyu buat anaknya untuk dibawa bekal sekaligus membuatkan ramai netizen terkejut serta ada yang melabel ‘bekal T20’.
Memetik Oh Bulan, Nabila mengakui kurang senang dengan perkataan tersebut. Kata Nabila dia dan keluarga hanya hidup bersederhana namun tidak kisah bermewah dalam soal makanan.
“Saya tidak suka betul dengan kenyataan tersebut sebab buat orang pandang serong dengan golongan berkenaan. Tetapi saya tahu orang di luar sana berhak sahaja untuk bercakap apa sahaja yang mereka mahu.
“Namun hanya saya dan keluarga yang tahu kehidupan kami macam mana dengan hidup yang sederhana. Cumanya bila melibatkan masakan dan makanan memang saya tidak kisah untuk bermewah sedikit tentang makanan,” katanya,
Dalam pada itu, Nabila berkata baginya memilih makanan yang berkualiti adalah perkara yang penting namun biarlah mengikut kemampuan.
“Saya suka makan benda yang berkualiti dan sedap. Apa yang penting adalah mengikut kemampuan masing-masing.
“Daging itu pun baki daripada yang sebelum-sebelum ini telah disimpan dalam peti ais. Anak saya tidak kisah, dia akan makan apa yang saya makan,” katanya.