Nga Kor Ming tak peduli, rela digelar ‘menteri tandas’

Nga Kor Ming tak peduli, rela digelar ‘menteri tandas’

 

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming sekali lagi berkata dia tidak kisah digelar “menteri tandas” susulan usahanya memastikan tandas awam bersih.

“Pada awal pelaksanaan (program kebersihan tandas), ramai yang mencemuh saya dan ada yang memanggil saya ‘menteri tandas,’ tetapi saya tidak ambil peduli kerana yang paling penting bagi saya adalah (tandas) bersih,” katanya.

Hampir sebelas bulan lalu, Nga berkata dia tidak kisah dengan gelaran itu setelah memperkenalkan anugerah “Toilet of the Year” ke arah “tandas BMW” (Bersih, Menawan, Wangi).

Pada tahun ini, sebanyak 345 penyertaan diterima bagi kategori hotel, pusat beli-belah, konsesi lebuh raya (hentian rehat dan rawat), stesen minyak serta restoran.

Pemenang ditentukan oleh juri bebas daripada Persatuan Bilik Air Berkualiti Malaysia dan wakil Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Edisi kali ini dimenangi oleh The George Group Penang (kategori hotel), Toppen Shopping Mall Johor Bahru (pusat beli-belah), Elmina Arah Selatan (hentian rehat dan rawat), Petron Senai Johor (stesen minyak) dan Cawan Mu Ipoh Perak (restoran).

Pada tahun depan, anugerah itu akan diperluas kepada tujuh kategori berbanding lima ketika ini manakala hadiah wang tunai dinaikkan kepada RM20,000 berbanding RM10,000 tahun ini.

Kategori baru tandas sekolah dan pihak berkuasa tempatan akan turut dipertandingkan.

Sementara itu, dalam acara di Kuala Lumpur, Nga berkata cetusan ideanya sendiri itu sebagai persiapan untuk Tahun Melawat Malaysia pada 2025.

Katanya pasaran industri peralatan tandas secara global bernilai RM80 bilion dan dijangka meningkat sebanyak 7.6 peratus setiap tahun.

“Sebenarnya wawasan saya bukan sahaja kita mahu pastikan tandas awam negara bertaraf dunia tetapi inisiatif ini juga untuk bangunkan industri peralatan tandas… seperti di Korea ada COWAY, Jepun ada Toto…

“Industri ini berkembang dengan sangat pesat susulan urbanisasi dunia dalam memperkenal kediaman pintar yang turut dilengkapi tandas pintar serta kesedaran dalam penjagaan tandas,” katanya.

Kebersihan tandas turut menjadi antara dasar pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Dalam Belanjawan 2024, dia yang juga menteri kewangan mengumumkan peruntukan RM150 juta untuk penyelenggaraan tandas awam oleh pihak berkuasa tempatan.

Anwar juga menekankan keperluan memastikan tandas sekolah bersih dengan membaiki 8,354 tandas sekolah sepanjang tahun depan.