Kenyataan ini menyebabkan Mufti Perlis dikecam teruk!
Umat Islam dibenarkan bergurau secara umum, namun ia akan menjadi haram sekiranya terdapat beberapa unsur bercanggah dengan syariat.
Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, bentuk gurauan pada masa kini yang dibenarkan seperti prank, karikatur, parodi, satira, komedi dan seumpamanya dengan tujuan membawa kepada kebaikan.
“Gurauan membawa kebaikan adalah seperti untuk menjalinkan hubungan lebih akrab, pendidikan lebih berkesan atau segala maksud baik maka ia boleh mendatangkan pahala.
“Namun, ia menjadi haram sekiranya terdapat unsur mempermainkan agama Islam sama ada daripada sudut kepercayaan, syiar atau amalan,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Harian Metro.
Mohd Asri, berkata hukum bergurau akan menjadi haram sekiranya ia bertujuan memperlekeh dan merendahkan orang lain dalam perkara dan bentuk tidak wajar.
Katanya, ia termasuk mereka-reka sesuatu tidak wujud yang membawa keburukan serta mendatangkan mudarat kepada pihak lain sama ada dari segi fizikal, emosi, maruah, harta, ketenteraman, individu atau masyarakat.
“Bergurau menjadi haram jika bertujuan maksiat, dosa dan kemungkaran selain bergurau dengan bahasa dan perlakuan tidak wajar menurut uruf setempat.
“Justeru saya menasihatkan masyarakat agar mementingkan sifat kesederhanaan, keseimbangan dan kesesuaian sebagaimana dianjurkan dalam agama termasuk dalam permasalahan gurauan,” katanya.