Haqiem Stopa kini suami Aireena Sofia, kenal tiga minggu terus ajak nikah, serah mas kahwin RM77,777.77

Haqiem Stopa kini suami Aireena Sofia, kenal tiga minggu terus ajak nikah, serah mas kahwin RM77,777.77

 

Perkenalan singkat ikon permotoran, Haqiem Stopa dengan seorang pempengaruh dikenali sebagai Aireena Sofia Zakaria akhirnya membawa ke jenjang selepas mereka selamat diijabkabulkan pada Jumaat malam.

Berkongsi berita gembira itu kepada mStar, Haqiem atau Muhammad Sadzri Hakim Jaafar, 24, berkata dia mula mengenali dan berkenalan dengan gadis pilihannya itu atas urusan bisnes.

“Saya mula kenal Aireena masa minta dia buat reviu baju yang saya jual. Saya mesej dia melalui direct message di Instagram minta rate card.

“Saya tak berniat pun nak ngurat dia atau jadikan isteri sebab dia banyak kali ghosting (tidak layan) saya. Sebenarnya dia pun tak nak dekat saya masa mula-mula kenal tu.

“Tapi lepas lebih kurang tiga minggu berkawan, kami putuskan untuk berkahwin. Kebetulan saya baru saja putus hubungan dengan bekas kekasih,” ujarnya kepada mStar.

Pada majlis akad nikah yang diadakan di Kdh Villa, Sungai Buloh, Selangor itu Haqiem menyerahkan mas kahwin sebanyak RM77,777.77 serta senaskah al-Quran kepada pasangannya.

Bagaimanapun TikToker yang memiliki lebih 1.2 juta pengikut ini enggan mendedahkan jumlah perbelanjaan bagi tiga majlis iaitu akad nikah, malam berinai (Jumaat) dan majlis persandingan yang diadakan pada Ahad.

“Saya tak nak digelar riak beritahu jumlah untuk kos perkahwinan kami. Saya cuma boleh cakap perbelanjaan tu cecah enam angka saja.

“Saya tak serahkan wang hantaran, cuma bagi duit mas kahwin semata-mata. Selain itu saya bagi cincin dan gelang kepada Aireena,” ujar Haqiem lagi.

Bercerita lanjut tentang fasa awal perkenalannya dengan Aireena yang memiliki lebih 695,000 pengikut di Instagram, Haqiem berkata mereka tidak pernah keluar berdua selain pada hari dia melamar wanita itu.

“Aireena ni ada ibu bapa yang cukup tegas. Selama ni kalau saya nak serah barang reviu pun kami berjumpa tepi jalan sambil ditemani mak ayah. Lepas serah barang, terus balik.

“Kami ada juga keluar bersama tapi selalunya ada kakak dia teman. Cuma hari nak lamar dia tu, saya ajak dia makan malam berdua. Lepas bagi cincin tanda malam tu, dia bersetuju nak kahwin.

“Jadi kami pun bertunang pada awal Ogos selepas dapat persetujuan kedua-dua keluarga. Tak sangka tempoh perkenalan singkat ni berakhir dengan perkahwinan,” jelasnya.

Dalam pada itu Haqiem turut berkongsi mengenai ciri-ciri yang ada pada Aireeena hingga membuatkan dia jatuh cinta.

“Apa yang saya suka dia pandai buat bisnes dan rajin cari duit. Dia wanita berkebolehan. Tapi apa yang paling membuatkan saya tertarik dekat Aireena ni adalah sebab rupa dia.

“Masa baru kenal Aireena pun, saya suka tengok penampilan dia. Cara berpakaian dia pun mengikut trend semasa. Saya pula sudah berumur sikit berbanding dia.

“Tapi saya suka tengok cara dia menggayakan pakaian dan bukan hanya pandai pakai baju kurung je,” jelasnya lagi.

Meskipun sering dilanda pelbagai cerita tidak manis sebelum ini, Haqiem berharap agar orang ramai mendoakan kesejahteraan perkahwinan dengan wanita pilihan hatinya ini.