Gadis Indonesia terkejut rakyat Malaysia sangat cintakan produk tempatan, “Di mana-mana ada Proton”

Gadis Indonesia terkejut rakyat Malaysia sangat cintakan produk tempatan, “Di mana-mana ada Proton”

 

Seorang pempengaruh media sosial wanita dari Indonesia mengakui tertarik dengan Malaysia dan mendedahkan bagaimana rakyat negara ini begitu menyokong produk tempatan.

Wanita dikenali sebagai Elsa Widianti itu berkata, ketika kali pertama dia menjejakkan kaki di Malaysia, dia terkejut kerana begitu banyak kereta jenama Proton berada di atas jalan raya dan menyimpulkan rakyat negara ini begitu mencintai produk tempatan.

“Di Malaysia itu sangat-sangat mencintai produk tempatan. Salah satunya jenis kenderaan di mana Malaysia juga mencipta kenderaan sendiri jenama Proton.

“Ketika saya di Malaysia, saya lihat banyak sangat Proton di mana-mana. Secinta itu rakyatnya terhadap produk tempatan.

“Menurutku itu perkara baik kerana dapat menyokong ekonomi negara,” katanya di saluran YouTube miliknya baru-baru ini.

Selain itu dia turut menyenaraikan 12 perkara yang dilakukan oleh rakyat Malaysia dan tidak berlaku di negaranya antaranya adalah gemar mendengar saluran radio tempatan.

Dia menyedari itu ketika menaiki Grab di sini.

“Satu lagi yang saya terkejut adalah, orang Malaysia suka dengar radio tempatan mereka, saya lihat mereka begitu asyik ketika memandu sambil mendengar radio mereka.

“Sekarang banyak aplikasi muzik yang ada dalam setiap kenderaan, tetapi mereka tetap pilih radio tempatan mereka. Mereka begitu cintakan barangan mereka,” jelasnya.

Apa yang menarik perhatiannya juga, lelaki di Malaysia bernampilan kemas dan tidak ada yang berpakaian lusuh.

“Perkara yang paling menarik perhatian saya adalah melihat penampilan orang Malaysia yang kemas terutama golongan lelaki.

“Saya lihat di mana-mana sahaja mereka tidak berpakaian lusuh, rambut dijaga elok. Memang penampilan lelaki Malaysia begitu rapi dan kemas,” katanya lagi.