Kerajaan Kelantan tak bantu, wanita ini rayu bantuan katil dan kerusi roda buat suami
Tiada apa mampu menggambarkan keresahan hati seorang isteri apabila suaminya disahkan menghidap kanser leher tahap empat sejak Mac tahun lalu.
Siti Rosila Abd Rashid, 42, berkata suaminya Md Zuki Mat Adam, 48, yang sebelum ini bekerja di kilang kayu terpaksa berhenti kerja sejak setahun lalu selepas tahap kesihatannya merosot.
Katanya, pada Januari tahun lalu, suaminya mengalami sakit tekak hingga sukar menelan makanan lalu dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra, di sini, untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Doktor mengambil sampel biopsi di bahagian leher dan keputusan ujian mengesahkan pada ketika itu suami saya menghidap kanser leher tahap dua.
“Saya berasa dunia ini seakan gelap seketika, namun perlu menerima ujian ini dengan hati yang lapang dan perlu kuat untuk bersama-sama mengharunginya.
“Bagaimanapun, sel kanser suami terlalu agresif dan beberapa bulan selepas itu, ia berada pada tahap empat dan sudah menjalani empat kali rawatan kemoterapi dan 35 kali radioterapi di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II),” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bedal, di sini, hari ini.
Terdahulu, keluarga berkenaan menerima kunjungan aktivis Cempaka Merah Asnaf Society, Che Norhayati Mohamed yang menyampaikan wang zakat dan sumbangan barang keperluan makanan asas.
Ibu kepada tujuh anak berusia 11 hingga 26 tahun itu berkata, sejak Jun lalu, suaminya perlu bergantung sepenuhnya kepada susu yang diberikan lima kali sehari setiap empat jam melalui saluran tiub yang dipasang di bahagian perut.
“Bagaimanapun, pada Ogos lalu, suami perlu menjalani pembedahan menebuk bahagian leher bagi memasang tiub pernafasan untuk memudahkannya bernafas.
“Selain penyakit kanser, suami uga menghidap penyakit Hepatitis B, hernia, dan buasir selain tulang belakangnya retak akibat kemalangan jalan raya, lapan tahun yang lalu,” katanya, lapor Harian Metro.
Menurutnya, bagi kelangsungan hidup, dia bekerja di salon rambut dengan pendapatan RM800 sebulan dengan dibantu dua anaknya, Muhammad Aqil Faizwan, 23, yang bekerja pembantu kedai makan dan Muhammad Zamzuri, 26, yang bekerja di premis cuci kereta.
“Pada masa sama, saya juga perlu menanggung tiga lagi anak yang masih bersekolah termasuk seorang orang kurang upaya (OKU) pembelajaran,” katanya.
Menurutnya, mereka berdepan kesempitan hidup kerana dia perlu memperuntukkan hampir RM2,000 sebulan termasuk membeli susu khas selain kos-kos lain.
Katanya, dia bersyukur kerana suami mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan sekali gus dapat meringankan beban yang ditanggung.
“Saya amat mengharapkan ada individu prihatin dapat menyumbang katil boleh laras dan juga kerusi roda untuk memudahkan pergerakan serta menguruskan suaminya,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan ke akaun Agro Bank 2-00-6701-00026975-7 atas nama Md Zuki Mat Adam atau menghubungi Siti Rosila di talian 014-5425327.