Suka ‘belanja’ gambar, Janna Nick digelar ratu sensasi
DIA Janna Nick. Sepotong nama yang jarang berada di luar radar sensasi dan bahang kepanasan yang memercikkan bunga-bunga kontroversi mewarnai dunia hiburan tanah air. Dialah si ratu sensasi.
Di sebalik bakat lakonan, pengacaraan dan nyanyian bahkan pengarahan yang membiak dalam diri, langkah Janna tidak lekang dihimpit pelbagai cerita kurang enak. Barangkali dibajai acuan keperibadian sendiri, ada sahaja kisah negatif tumbuh di laman karier anak seni kelahiran Sungai Petani, Kedah itu.
Perdebatan peminat tentang Janna bagaikan tiada kesudahan, malah episodnya bergilir musim dan entahkan bila akan surutnya. Namun dalam banyak perkara yang sering menghimpit dan mengasak dirinya, isu berhubung keseksiannya dalam laman sosial paling kerap meniti di jari netizen.
Tidak terhenti setakat itu, Janna atau nama sebenarnya Nurul Jannah Munner masih terkait masalah gangguan bipolar hingga pernah melakukan cubaan bunuh diri sebelum ini.
Bermula dari detik itu, pelbagai gelaran dan nama kurang enak menerjah ke mukanya. Antara yang paling terkesan, gila, perempuan mental, sakit jiwa dan banyak lagi.
“Ikutlah apa sahaja anda nak panggil dan gelarkan saya. Apa yang saya tahu, saya tak nak ambil pusing dengan kata-kata orang.
“Bagi saya, kebahagiaan dalam diri saya adalah lebih utama daripada semua itu.
“Cukuplah saya sendiri tahu dan mengerti apa yang saya lakukan,” katanya membuka bicara kepada Pose.
Bagi Janna, semua orang ada hak untuk bercakap, mengkritik dan menghentam apa sahaja yang dirasakan tidak kena di mata masing-masing.
Tidak disengajakan
Ditebak mengenai perlakuannya yang kerap menayang dan memuat naik gambar-gambar seksi hingga menjadi ‘modal’ atau bahan persendaan ramai, Janna ada jawapan tersendiri.
Bagi pelantun lagu Mungkin Saja itu, apa yang dilakukan bukan satu perkara yang disengajakan atau mahu memancing tumpuan ramai, tetapi apa yang berlaku, merupakan pilihan netizen untuk diperkatakan dan diviralkan.
“Kalau tanya saya, itulah diri saya yang sebenar. Apa sahaja muat naik yang saya lakukan tak kisah gambar mahupun video, semuanya tanpa disengajakan.
“Cuma saya pelik, ada saja benda yang netizen nak persoalkan. Mereka seolah-olah pantang dan tak boleh duduk diam dengan apa yang saya lakukan.
“Pada saya, netizenlah yang pilih untuk bercakap soal itu (seksi), lantas viralkan perkara tersebut hingga menjadi bualan dan santapan mereka dalam media sosial,” ujarnya.
Bercakap perihal seksi atau mencolok mata, perkara tersebut terserah kepada penerimaan seseorang untuk menilai.
“Kalau tanya saya, lain orang lain pandangan terhadap perspektif seksi.
“Biarpun ada yang menuduh saya sengaja mahu mencuri perhatian, tetapi mereka kena ingat, kerjaya saya sebagai selebriti sememangnya sentiasa dalam perhatian umum termasuk netizen.
“Jadi, saya tidak akan putus semangat meneruskan kerjaya sebagai anak seni selagi bakat dan diri saya masih diterima dalam arena ini,” tegasnya yang seperti tidak hairan dengan apa sahaja jolokan ramai.
Mental terkawal
Diaju bab masalah kesihatan mental atau bipolar yang sudah dihidapinya sejak remaja, Artis Versatil Popular, Anugerah Bintang Popular ke-32 itu memberitahu, situasi tersebut semakin terkawal dan menunjukkan perkembangan positif.
Sehingga kini dia masih mendapatkan nasihat pakar kesihatan dan sentiasa melakukan rawatan susulan.
“Alhamdulillah kesihatan mental saya semakin terkawal dan baik. Walaupun jadual seni sudah mula padat, fokus untuk kesihatan tetap menjadi keutamaan.
“Apa yang pernah berlaku biarlah saya sendiri yang lalui dan hadapi,” ujarnya.
Beralih kepada perkembangan kerjaya seninya ketika ini, Janna kini sedang menjalani penggambaran bagi beberapa naskhah yang sudah lama tertunda akibat Perintah Kawalan Pergerakan.
Katanya, dia bersyukur selepas kerajaan mula membenarkan penggiat seni untuk bekerja semula selepas sekian lama terperuk di rumah.
“Untuk waktu ini, saya sedang habiskan penggambaran drama bersiri Shakira untuk slot Akasia TV3 yang menampilkan Shukri Yahaya sebagai hero.
“Pada masa sama, saya juga sedang mengarahkan sebuah filem psiko thriller berjudul Mendua bawah produksi saya sendiri, JN Studio & Entertainment.
“Penggambaran yang dilakukan di sekitar Cameron Highland, Pahang menampilkan barisan pelakon hebat seperti Nazim Othman, Emma Maembong dan ramai lagi,” ujarnya, lapor Kosmo.
Tambah Janna, dia juga kembali aktif mengacara dan terbaharu mengendalikan sebuah program berbentuk ilmiah dan berita semasa mengenai isu terkini iaitu Banteras Covid-19. Sempat diaju mengenai perancangan untuk menamatkan zaman bujang bersama kekasih hati yang juga pelakon Dini Schatzmann, Janna meletakkan semua itu atas urusan jodoh dan aturan Tuhan.