Walau tandatangan persefahaman, taring pembangkang tak akan hilang
Rakyat tidak perlu bimbang dengan keberkesanan fungsi semak dan imbang di Parlimen, walaupun Kerajaan dan Pembangkang bakal menandatangani memorandum persefahaman, petang ini.
Felo Penyelidik Ilham Centre, Profesor Madya Hamidin Abd Hamid berpandangan, blok Pembangkang tidak akan hilang ‘taringnya’ dalam memastikan urus tadbir negara berjalan dengan telus kerana pada asasnya mereka perlu bertanggungjawab dengan rakyat yang diwakili.
Beliau berkata, berdasarkan tujuh perkara yang dipersetujui dalam MoU tersebut, ia tidak membawa maksud Pembangkang hanya akan menuruti apa yang dilakukan Kerajaan, kerana masih banyak perkara dalam urus tadbir yang disemak.
“Adakah ini berakhir era pembangkang? Adakah pembangkang akan turut serta dalam apa saja kerajaan? Saya rasakan ia tidak harus bersifat demikian. Parlimen harus terus menjadi wadah untuk kita lakukan semak dan imbang.
“Hadkan tempoh masa Perdana Menteri, Undi18, paling penting perbelanjaan negara dan sebagainya. Ini saya kira satu keadaan di mana Kerajaan memainkan peranan, membawa bersama Pembangkang, bukan sahaja dalam proses melakukan dasar.
“Tetapi yang paling penting dalam konteks penyampaian kepada rakyat,” katanya dalam program Buletin AWANI Khas sempena Sidang Penggal Keempat Parlimen, di sini, pada Isnin.
Sebelum ini media melaporkan, MoU berkenaan bertujuan untuk mengembalikan kestabilan politik negara demi menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara melalui pedekatan kerjasama secara “dwipartisan“.
Berdasarkan kenyataan media, majlis itu akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Ketua-Ketua Parti Pakatan Harapan – Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Presiden UPKO Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.
Pada 10 September lepas, Perdana Menteri telah mengumumkan tujuh perkara dalam Tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan, khusus bagi mengembalikan kestabilan politik demi menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.
Tujuh perkara itu ialah:
1. Pembentangan Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti
2. Pelaksanaan Undi-18 dalam tempoh terdekat dengan pembentangan Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan
3. Pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.
4. Keseimbangan keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen melibatkan Ahli Parlimen Kerajaan dan Ahli Parlimen Pembangkang.
5. Rundingan dwi-partisan untuk Rang Undang-Undang termasuk Rang Undang-Undang Perbekalan
6. Penglibatan Blok Pembangkang dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) untuk memberikan pandangan dan cadangan penambahbaikan.
7. Saraan dan kemudahan setara menteri untuk Ketua Pembangkang
Mengulas lanjut, Hamidin berkata, Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat, Parlimen Keempat Belas, akan memberikan gambaran jelas mengenai hala tuju negara.
“Saya merasakan Titah Diraja akan memberi gambaran mengenai hala tuju negara kerana berdasarkan Kenyataan Istana Negara sebelum ini, Agong lebih menumpukan bahawa parti politik harus berhenti bercakaran, kerja bersama-sama demi memjayakan kepentingan rakyat.
“Saya kira Titah Agong masih berkisar perkara sama. Kita akan melihat bagaimana ucapan ini nak dibahaskan, diperdebatkan, sejauh mana ia akan melangkaui tujuh perkara yang ditetapkan kerajaan,” katanya lagi.
Sumber – AA