PKR guna kajian NGO Hulu Kinta sebagai hujah tidak guna logo PH
PKR mendakwa “majoriti” pengundi di negeri tersebut memilih logo PKR sebagai lambang yang sesuai digunakan oleh Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Ketua Penerangan PKR Perak Muhammad Arafat Varisai Mahamad berkata satu kajian dibuat mereka dengan kerjasama Persatuan Generasi Baru Hulu Kinta membuktikan dapatan berkenaan.
“Kajian dibuat di 59 kawasan dewan undangan negeri (DUN) di Perak bagi mengetahui logo manakah yang lebih sesuai untuk digunakan pada PRU ke-15.
“Sebanyak 78 peratus responden menyatakan logo PKR lebih sesuai berbanding 22 peratus mahukan logo PH,” katanya, lapor Malaysiakini.
Tambahnya, menggunakan logo dan bendera PKR pada PRU akan datang adalah strategi terbaik untuk membantu memenangkan PH dan ia terbukti pada PRU ke-14.
Sebelum ini, beberapa pemimpin PKR berpandangan PH perlu menggunakan logo PKR pada PRU ke-15.
Namun, DAP dan Amanah memberi pandangan berbeza dengan mengatakan bahawa Majlis Presiden PH pada 23 Ogos memutuskan yang logo gabungan itu akan digunakan oleh semua calonnya dalam PRU akan datang.
Bagaimanapun, Pengerusi PH Anwar Ibrahim menjelaskan hari ini dia masih dalam proses mendapatkan nasihat daripada akar umbi parti berhubung penggunaan logo tunggal bagi calon PH.
Pada 3 Sept lalu, Anwar berkata parti komponen PH bersetuju pada prinsipnya untuk menggunakan satu logo.
Katanya dalam PRU lalu PH menggunakan logo PKR kerana ketika itu Jabatan Pendaftaran Pertubuhan belum mengesahkan gabungan berkenaan secara rasmi.