115 MP sedang puas dengan sogokan, kata Khalid Samad
Khalid Samad (PH-Shah Alam) menegaskan kedudukan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri tidak dicabar kerana 115 sokongan Ahli Parlimen puas dengan sogokan yang diberi.
Menurutnya, kestabilan yang dimaksudkan Ismail itu bukan kerana memorandum persefahaman (MoU) yang ditandangani antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) pada bulan lalu seperti didakwa Naib Presiden Umno tersebut.
“Baru-baru ini Perdana Menteri menyatakan politik stabil adalah atas sebab MoU.
“Saya melihat kenyataan itu berniat jahat dengan tujuan untuk mengelirukan rakyat kerana sebenarnya kestabilan yang dimaksudkan iaitu kedudukannya tidak dicabar bukan atas sebab MoU tetapi atas sebab 115 MP yang menyokongnya buat masa ini puas dengan sogokan yang diberi,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini, lapor Malaysia Dateline.
Oleh sebab itu, Khalid yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan berkata, Ahli Parlimen terbabit tidak berpecah dan menarik sokongan mereka daripada Ismail.
“Seperti dunia tahu, sokongan 115 Ahli Parlimen adalah atas dasar jawatan-jawatan yang ditawarkan.
“Itulah sebabnya mengapa Kabinet merupakan Kabinet XXXL. Ada banyak juga jawatan yang diberi setaraf menteri termasuk Pengerusi Majlis Pemulihan Negara yang diserahkan kembali kepada Pagoh walaupun Pagoh telah pernah diisytihar sebagai gagal oleh Umno-BN,” katanya.
Mengulas lanjut MoU Tranformasi dan Kestabilan Politik yang merangkumi enam perkara itu, Khalid menyifatkan wakil rakyat PH lebih berintegriti.
“MoU ini adalah kerana PH tidak boleh dibeli dengan tawaran jawatan atau pun sogokan. Kita boleh adakan kerjasama atas dasar-dasar yang dipersetujui bersama.
“Kesatuan yang kelihatan wujud adalah atas sebab kita telah menggariskan beberapa dasar yang kita anggap amat penting untuk negara kita supaya matlamat-matlamat yang terkandung di dalam RMK-12 dan RMK sebelum itu Insya-Allah dapat dicapai,” kata Khalid lagi.