Panas! Rosmah tak mengaku terima dua beg berisi RM5 juta
Datin Seri Rosmah Mansor menafikan dirinya pernah menerima dua buah beg berisi wang RM5 juta di Seri Perdana sebagai sumbangan kerana membantu syarikat Jepak Holdings mendapatkan Surat Setuju Terima (SST) bagi projek solar hibrid.
Wang itu didakwa telah diberikan Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin dan rakan kongsinya, Rayyan Radzwill Abdullah kepada Rosmah melalui bekas pegawainya, Datuk Rizal Mansor.
Rosmah ketika disoal oleh peguambela utama, Datuk Akberdin Abdullah pada prosiding membela diri berkata, dua beg itu tidak pernah diterimanya sebaliknya tuduhan itu untuk mengaibkan dirinya secara zalim.
“Dakwaan Rizal kononnya beg-beg itu telah diserahkan kepada dua butlers dan kemudian diserahkan pula kepada saya di Seri Perdana adalah satu fitnah semata-mata.
“Ketika SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) bertanyakan kepada saya tentang perkara itu, saya menjawab saya tidak terima wang sebanyak RM5 juta bagi mempercepatkan SST daripada Saidi kerana saya tidak mengenalinya.
“Saya juga tidak tahu Saidi berhasrat untuk memberikan saya RM5 juta kepada saya. Saya juga tidak ada pengetahuan sama dengan tindak tanduk (PW17) Saidi dan Rizal (PW21) serta pihak lain berkaitan cara penyerahan beg itu kepada saya yang pada mulanya ke Pavilion.
“Adalah cukup jelas wang-wang itu telah diminta oleh Rizal sendiri, jelas ianya bukan untuk saya. Malah PW16 (Rayyan Radzwill) sendiri melalui keterangan saksi ada menyatakan Rizal suka meminta wang menggunakan nama saya,” katanya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan di sini hari ini, lapor Malaysia Gazette.
Sebelum ini, ketika prosiding kes solar pada Julai 2020, Rayyan pernah mendedahkan kepada Mahkamah Tinggi, Saidi Abang pernag menyerahkan wang tunai RM6.5 juta kepada Rosmah sebagai sumbangan kerana membantu syarikat itu mendapatkan SST.
Rayyan berkata, penyerahan itu dilakukan dalam dua pertemuan berasingan di mana penyerahan pertama adalah sebanyak RM5 juta melalui Rizal sekitar Disember 2016.
Rayyan berkata, penyerahan kedua sebanyak RM1.5 juta dibuat pada 7 September 2017 ketika beliau dan Saidi pergi ke rumah Rosmah di Jalan Langgak Duta di sini.
Rosmah ketika ini sedang membela diri ke atas tiga pertuduhan rasuah terhadapnya berkaitan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion yang diberikan kepada syarikat Jepak Holdings melalui rundingan terus.
Isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu berdepan pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah RM6.5 juta daripada Saidi melalui Rizal Mansor.
Dalam pada itu, Rosmah turut mendakwa pembohongan yang dilakukan oleh Rizal demi kepentingan dirinya untuk mengaut sendiri wang bernilai RM5 juta tersebut.
“Sekali lagi saya sahkan bahawa Rizal tidak pernah membuat panggilan telefon kepada saya berkaitan wang itu. Mustahil untuk saya arahkan Rizal hantar bagasi bernilai wang itu ke Seri Perdana,” tegasnya.
Rosmah selesai membaca keterangan saksi yang mempunyai 118 muka surat hari ini dan pemeriksaan utama akan dimulakan esok pagi.