Binatang! Bapa rogol anak, paksa isteri lakukan seks
Seorang penganggur ditahan selepas didakwa merogol anak kandung sendiri dan menyeksa isterinya ketika melakukan hubungan seks di rumahnya di Gurun di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, polis menahan lelaki berusia 40 tahun itu selepas isteri suspek membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di sini pada pukul 9 pagi.
“Dalam laporan polis itu, isteri suspek yang berusia 35 tahun memaklumkan anak perempuan mereka berusia 16 tahun juga dirogol oleh bapanya itu.
“Selama ini, dua beranak itu berdiam diri dan tidak mahu mendedahkan kejadian tersebut kerana bimbang dipukul oleh suspek yang panas baran,” katanya ketika dihubungi Utusan hari ini.
Kata Adzli, pasangan itu mempunyai enam anak dan kejadian rogol membabitkan salah seorang anak perempuan mereka berlaku sejak Disember lalu, dengan kejadian terakhir berlaku Jun lalu.
“Remaja terbabit yang juga pelajar cemerlang dijadikan hamba seks oleh bapa kandungnya itu tidak kira siang atau malam terutama ketika isterinya keluar bekerja atau sedang tidur.
“Sejak itu, mangsa mendakwa dirogol sebanyak enam kali dengan kejadian terakhir berlaku pada petang Jun lalu,” katanya.
Menurutnya, isteri mangsa pula mendakwa suaminya kerap memasukkan objek keras dalam kemaluannya ketika melakukan hubungan seks sejak tiga tahun lalu selepas kelahiran anak bongsu.
Katanya, suami melakukan perbuatan kejam itu ketika mereka mengadakan hubungan kelamin pada awal bulan ini.
“Wanita itu dan anaknya dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut semalam dan mereka akan dirujuk kepada pusat kaunseling.
“Susulan daripada laporan dua beranak itu, suspek ditahan dan hasil siasatan awal dia mengaku melakukan perbuatan terbabit kepada isteri serta anaknya,” katanya.
Beliau berkata, ujian air kencing mendapati suspek bebas daripada pengaruh dadah dan dia kini direman selama tujuh hari untuk membantu siasatan.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana mencabul dan melakukan seks luar tabii.