Panas! Zahid dedah sikap sebenar Pas, mengkhianati Umno berulang kali
Lain dicerita, lain diberitakan. Itulah yang berlaku kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam wawancaranya dengan sebuah saluran TV Internet malam kelmarin.
Menurut Presiden UMNO itu, beliau tidak pernah mengeluarkan ungkapan sebagaimana dilaporkan wartawan sebuah portal politik, yang menggambarkan percakapannya dalam wawancara itu begitu angkuh sekali.
Katanya, beliau tidak pernah melontarkan kata-kata kasar seperti yang ditulis dalam tajuk berita itu, “Bukan sekadar Bersatu, kerjasama dengan Pas juga UMNO tak ingin – Zahid”.
Selain itu, beliau juga tidak pasti mengapa percakapannya dalam wawancara itu digarap dengan begitu angkuh sekali.
“Malah, dengan gambar wajah saya yang disiarkan pada sudut seolah-olah begitu bengis.
“Insya-Allah itu bukanlah nilai yang tepat tentang diri saya,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, semalam.
Dalam temubual dengan TV NRChannel itu, portal berkenaan melaporkan, UMNO nampaknya sudah tawar hati dengan parti-parti gabungan, bukan sahaja dengan Bersatu, malah termasuk Pas yang disatukan dalam ikatan Muafakat Nasional (MN).
Lapornya, Ahmad Zahid memberitahu, UMNO telah dikhianati berulang kali oleh Pas.
Pun begitu, beliau dilaporkan memaklumkan, memandangkan MN tidak pernah didaftarkan, maka tidak nampak ada cahaya terang untuk perikatan itu direalisasikan seperti mana Pilihan Raya Kecil (PRK) lain yang pernah diadakan.
Mengulas lanjut, Presiden UMNO itu cuba menjelaskan apa yang disebut dan dikatakannya berhubung keadaan politik dalam wawancara berkenaan.
Pertama, katanya, beliau ditanya mengenai kerjasama antara UMNO dan Bersatu dalam PRU-15.
“Saya katanya, saya perlu menghormati keputusan dan ketetapan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) bagi tahun 2020.
“Ketetapan telah dibuat dan saya sebagai Presiden menghormatinya, bahawa dalam PRU-15 kita (UMNO) tidak akan bekerjasama dengan PPBM (Bersatu),” katanya.
Kemudian, menurutnya, beliau menjawab soalan adakah dirinya kecewa dengan MN yang pernah memeterai piagam pada 2019.
“Saya jawab, saya tidak pernah kecewa sebagai ahli politik, tetapi kita harus tahu apabila kita berkongsi hidup harus saling percaya mempercayai dan jangan khianat mengkhianati.
“Cukuplah pengkhianatan dilakukan sekali, tetapi kalau telah berulang kali, bukan kepada UMNO, tetapi kepada pelbagai pihak, saya fikir itu harus dinilai semula,” katanya, lapor Malaysia Gazette.
Seterusnya kata Ahmad Zahid, beliau juga menjawab soalan mengenai kedudukan MN andai Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berlaku dan melontarkan pandangannya;
“Biarlah UMNO bertanding dengan panji-panji Barisan Nasional (BN) secara solo dan Insya-Allah rakyat memilih parti yang terbaik,” katanya.
Beliau menjelaskan, jawapannya itu bukan suatu keangkuhan, sebaliknya berpegang kepada realiti semasa dan berpijak di bumi yang nyata.