Berita baik! Daripada 181, tinggal 10 SOP sahaja akan dilaksanakan

Berita baik! Daripada 181, tinggal 10 SOP sahaja akan dilaksanakan

Kerajaan akan mengurangkan jumlah prosedur operasi standard (SOP) sebanyak 94.5 peratus bagi memudahkan pemahaman dalam kalangan masyarakat.

Pengurangan jumlah SOP daripada 181 ketika ini dijangka dapat dimuktamadkan dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi, dengan mengambil kira faktor tertentu selari peralihan negara ke fasa endemik, menjelang penghujung Oktober ini, lapor Berita Harian.

Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Hishammuddin Hussein, ketika mengumumkan perkara itu mengakui bahawa rangkaian SOP sedia ada, sejak penularan jangkitan COVID-19 melanda Malaysia pada awal Januari tahun lalu mengundang pelbagai kekeliruan.

Sehubungan itu, katanya, jawatankuasa kuasa membabitkan empat kementerian yang ditugaskan memperincikan langkah penyesuaian dan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) membendung penularan COVID-19 ketika negara menuju ke fasa endemik sepakat untuk merintis usaha ke arah memudahkan SOP sebagai persiapan beralih ke fasa berkenaan.

“Sebanyak 181 SOP sedia ada kini akan dikurangkan, kepada hanya 10. Bagi saya sedikit masa (untuk laksanakan perkara ini), tetapi ia akan lebih mudah difahami,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa serta Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Hishammuddin berkata SOP baharu yang bakal dirangka dan dihebahkan kepada orang ramai itu akan selaraskan membabitkan Kementerian Kewangan, Kementerian Pertahanan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Kementerian Kesihatan.

Jelasnya, setiap kementerian kemudian akan mengeluarkan perincian sama, menggunakan platform masing-masing supaya memudahkan pemahaman dalam kalangan masyarakat.

“Penting untuk empat menteri ini fikir hala tuju ke depan, dengan mengemaskini apa yang kita putuskan sebagai kerajaan dalam tempoh satu tahun setengah ini.

“Ini bagi memastikan orang ramai faham apa yang perlu mereka patuhi dalam landskap untuk kita nak masuk ke fasa endemik Oktober ini,” katanya.