Panas! Annuar Musa diselar Umno, lebih pentingkan parti lain daripada parti sendiri

Panas! Annuar Musa diselar Umno, lebih pentingkan parti lain daripada parti sendiri

 

SEORANG pemimpin Umno di Selangor mengingatkan Tan Sri Annuar Musa agar jangan meletakkan kepentingan parti lain melebihi kepentingan parti sendiri.

Perkara itu dinyatakan Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil susulan kenyataan Annuar yang dilapor mengingatkan pemimpin Umno agar berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan.

“Saya juga ingin ingatkan Pak Menteri supaya jangan letakkan kepentingan parti lain melebihi kepentingan parti sendiri. Salam,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya.

Menurut laporan Malaysiapost, Isham turut memuatnaik tangkap layar tajuk berita sebuah portal yang turut memaparkan gambar Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Semalam Annuar dilaporkan berkata pemimpin Umno perlu berhati-hati sebelum mengeluarkan kenyataan bagi mengelak berlaku masalah di kemudian hari.

Beliau berkata, ini kerana kebanyakan kenyataan yang dikeluarkan adalah pendapat individu dan bukan keputusan parti.

Maka, katanya, seharusnya sebelum kenyataan itu dikeluarkan, ia perlu melalui rundingan berasaskan kepada konsultasi.

Annuar berkata demikian ketika mengulas kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam satu wawancara baru-baru ini.

Dalam wawancara itu, Ahmad Zahid berkata Umno tidak akan bekerjasama dengan PAS melalui Muafakat Nasional (MN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Sebaliknya beliau menegaskan, Umno akan bertanding di bawah panji Barisan Nasional (BN) secara solo dan terpulang kepada rakyat memilih mana-mana parti terbaik.

Susulan itu, Annuar berharap apa jua pendirian yang dibuat Umno tidak lagi melihat kepada kepentingan parti itu sendiri, sebaliknya harus juga melihat kedudukan Umno sebagai pihak yang sedang memimpin dan memerlukan kerjasama banyak pihak.