Pelajar tiada dua dos tak boleh masuk kampus, kata menteri
Hanya pelajar, staf akademik dan staf bukan akademik yang sudah mendapat suntikan dos vaksin lengkap dan melepasi tempoh keberkesanan selepas divaksin, dibenarkan masuk ke kampus, lapor Berita Harian.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata perkara itu adalah tertakluk kepada kapasiti institusi pengajian tinggi (IPT), dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Ini adalah satu langkah bagi membentuk persekitaran yang selamat dan imuniti kelompok di dalam kampus.
“Bagi pelajar yang tidak boleh divaksin atas faktor kesihatan, mereka diminta menghubungi IPT masing-masing untuk penyelarasan,” katanya pada sidang media Pengumuman Pengoperasian IPT secara maya, hari ini.