Panas! Najib tempelak kerajaan Ismail Sabri

Panas! Najib tempelak kerajaan Ismail Sabri

 

AHLI Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak sekali lagi menyeru kerajaan untuk memberi peluang kepada syarikat telco tempatan untuk membeli sebahagian saham dalam Digital Nasional Berhad (DNB).

Najib berkata, syarikat infastruktur 5G kerajaan itu akan melambatkan proses untuk rakyat menikmati kecanggihan rangkaian sekali gus akan mendatangkan kerugian kepada negara.

“Oleh kerana kita sudah ketinggalan jauh ke belakang, pada awal tahun ini kerajaan PN putuskan menggunakan model untuk kerajaan membiayai dan membina keseluruhan infrastruktur 5G dalam negara melalui syarikat kerajaan DNB untuk disewakan kepada syarikat telco-telco tempatan.

“Model monopoli “Single Wholesale Network” (SWN) ini bukan perkara baharu sebab enam negara dalam dunia pernah mencubanya untuk perlaksanaan 4G termasuk Mexico, Belarus, Rwanda, Kenya, Russia dan Afrika Selatan.

“Oleh sebab model ini lemah, 3 negara (Kenya, Russia dan Afrika Selatan) telah membatalkan usaha mereka manakala baki tiga negara (Belarus, Rwanda dan Mexico) mengalami pelbagai lagi masalah kelewatan, ketidakcekapan servis dan kerugian bagi usaha pelaksanaan 4G mereka.

“Susulan itu, hanya Malaysia satu-satunya sahaja dalam dunia yang gunakan model ini bagi pelaksanaan 5G,” katanya menerusi Facebook.

Sehubungan itu, kerajaan perlu menggunakan cara dengan menawarkan lesen kepada telco tempatan melalui tender.

“Selepas menang tender dan membayar harga lesen kepada kerajaan, telco-telco ini pula akan bersaing untuk berlumba-lumba untuk membina infrastruktur dengan kadar yang paling laju, servis yang paling baik, paling murah ataupun liputan yang paling luas bagi menarik pelanggan.

“Wang lesen yang dibayar kepada kerajaan ini juga antara sebab kerajaan BN dahulu mampu memberi 1.7 juta netbook 1Malaysia masa dahulu. Jika dulu kerajaan dibayar wang oleh telco, kerajaan perlu keluarkan duit dulu untuk bina infrastruktur dengan model SWN hari ini tanpa mengutip satu sen.

“Biasanya syarikat swasta yang bersaing antara satu sama lain adalah lebih cekap dan laju berbanding syarikat monopoli kerajaan. Selain memastikan infratstuktur boleh dilaksanakan dengan kadar paling laju, persaingan telco juga akan memberi pilihan kepada pelanggan,” katanya.

Tambahnya, jika perkhidmatan sesebuah telco kurang baik kepada pelanggan atau signal akan lemah, mereka boleh menukar dengan mudah ke telco lain tanpa keperluan untuk mengubah nombor telefon.

“Tapi dengan cara perlaksanaan secara monopoli DNB ini, pelanggan tak ada pilihan jika servis network di sesuatu tempat adalah lemah. Tukar ke telco mana pun, servis network tetap lemah kerana ianya network yang sama.

“Seperti yang saya sudah tulis beberapa kali sebelum ini dan seperti apa yang saya bahas dalam Parlimen beberapa minggu lalu, saya amat bimbang bahawa Malaysia akan ketinggalan lebih jauh ke belakang sekiranya perlaksanaan 5G di Malaysia melalui syarikat monopoli DNB ini.

“Jika kita gagal, impak ekonomi mungkin trilion-trilion Ringgit besarnya sebab ekonomi masa depan semakin beralih ke digital,” katanya, seperti dilapor Malaysiapost.