Rakyat Kelantan luah kecewa, sudah 5 minggu tiada bekalan air

Rakyat Kelantan luah kecewa, sudah 5 minggu tiada bekalan air

 

Pagi yang amat menyedihkan!

Semalam seharian memandu dari Gombak ke Kota Bharu. Walaupun tiada kesesakan yang teruk namun kenderaan bergerak agak perlahan. Kira-kira 8 jam masa diambil untuk sampai ke Kota Bharu

Sampai saja rumah, perkara pertama saya buat adalah dengan membuka enjin mesin tarik air. Setelah buka beberapa minit, tiada kelihatan air masuk ke dalam tangki

Sebelum bermusafir ke KL untuk melawat mak dan adik beradik, tangki air memang dah kosong kerana 5 hari air tiada masuk langsung.

Masa tu rasa macam nak jerit sekuat hati je rasa. Dah lah penat, dengan badan melekit tapi kat rumah masih tiada air

“Aisyah, nampaknya malam ni kena mandi rumah ayah. Air takde dah ni”

Tanpa sebarang rehat walaupun 5 minit, saya pun terus kemas barang-barang dalam beg dan kemudian capai seluar, baju, tuala dan alatan berus gigi. Enjin kereta dihidupkan dan terus pergi ke rumah mertua untuk mandi dan makan.

Sebenarnya, rumah mertua pun tak dapat bekalan Air Kelantan. Namun mereka dah melakukan boring dalam beberapa tahun lepas kerana masalah air yang kritikal. Kos pemasangan kira-kira dalam 3800 untuk sekali pasang

Lepas je solat maghrib, ayah mertua tegur

“Dah lah Hanif. Nampak sangat penat tu. Pergi makan dan kita solat isyak sama-sama. Lepas tu, terus balik pergi berehat”

Balik je rumah, sebelum tidur saya semak jam di telefon saya. Saya tetapkan ia untuk berbunyi jam 4 pagi untuk buka enjin tarik air

Maka pukul 4 pagi pun saya bangun dan terus buka enjin air. Alangkah kecewanya, tiada air ke dalam tangki air. Tunggu punya tunggu, sampai jam 6 pagi tiada air masuk

“Bodohkan saya tunggu sampai jam 6 pagi?”

Jawapannya, bukan saya berharap sesuatu yang tak pasti. Tapi untuk pengetahuan semua, saya memang ada masalah insomnia (sukar untuk tidur)

Secara rutinnya, saya memang kena tidur mengikut jadual tidur yang dah ditetapkan. Sekiranya saya langgar jadual tersebut, maka saya takkan boleh tidur lagi selepas itu walaupun cuba memejam mata sekalipun

Sekarang ni (sampai setakat perkongsian ini ditulis) saya dalam keadaan amat-amat penat. Bahu terasa berat dan mata amat pedih. Nak lelap mata tak boleh dan pada masa sama isu masalah air ni ‘over-whelming’ kan pemikiran saya

Dah lah hari ini ada tiga meeting kena hadiri sampai ke malam. Rasa stress sangat. Tak larat rasanya nak hadiri ketiga-tiga meeting hari ni. Dengan badan tak larat, tidur tak cukup dan mental yang dah ‘down’ sangat sekarang ni.

5 minggu kawan-kawan. 5 minggu mengalami gangguan bekalan air

Saya mohon sangat kepada kawan-kawan yang membaca perkongsian semua mendoakan segala urusan kami semua dipermudahkan. InshaAllah, moga-moga berkat doa kalian masalah ni boleh diselesaikan dengan segera

Sejujurnya, dah tak tahu nak buat apa. Segala tempat aduan, dah dibuat. Namun, perkembanganya bagaikan tiada

HANIF YAHAYA