Annuar Musa masih anggap Muafakat Nasional masih wujud walau Pas curang

Annuar Musa masih anggap Muafakat Nasional masih wujud walau Pas curang

 

Status Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai antara UMNO dan PAS masih menjadi tanda tanya, selepas kedua-dua parti memutuskan bertanding secara berasingan pada Pilihan Raya Negeri Melaka (PRN).

Bagi Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, gagasan kerjasama MN antara ‘dua beradik’ masih wujud terutama di peringkat kebangsaan.

Katanya, hubungan ini masih kukuh dan belum sampai memutuskan hubungan.

Beliau berkata, walaupun MN (permuafakatan politik) UMNO dan PAS, tapi kini PAS sebahagian daripada Perikatan Nasional (PN), manakala UMNO pula menjadi sebahagian daripada Barisan Nasional (BN).

“PN dan BN bersaing berasingan dan mereka bersaing sesama sendiri. Meskipun situasi itu berlaku, tak bermakna PAS dan UMNO itu terputus hubungan sama sekali.

“MN masih boleh dikatakan wujud terutamanya di peringkat kebangsaan,” katanya seperti dilapor Ismaweb.net.

Annuar mengakui, bukan sesuatu yang luar biasa apabila parti yang bersama dalam kerajaan Persekutuan bersaing di peringkat negeri, kerana perkara tersebut turut diamalkan di negara lain.

Pada 14 September 2019 UMNO dan PAS menubuhkan Muafakat Nasional (MN) atas alasan untuk mengukuhkan semula kesatuan politik bangsa itu.

Gagasan berkenaan didakwa mahu membawa perubahan kepada kesatuan politik Melayu di Malaysia.

Namun, peranan dan fungsi Muafakat Nasional kini seolah-olah tenggelam dan hilang punca.