Langkawi akan jadi lokasi berisiko, 50 peratus hotel habis ditempah
Purata tempahan bilik yang diterima hotel-hotel bertaraf empat dan lima bintang di Langkawi kini telah mencapai kadar 50 peratus, menjelang pembukaan gelembung pelancongan di pulau peranginan tersebut pada 16 September ini.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada), Nasaruddin Abdul Muttalib berkata, data daripada Persatuan Hotel Malaysia bagaimanapun menyatakan kadar tempahan bilik bagi hotel berstatus tiga bintang dan ke bawah adalah lebih rendah, sekitar 20 hingga 30 peratus.
“Kami telah bersedia menerima kunjungan, kadar vaksinasi di Langkawi kini telah mencapai 92 peratus bagi sekurang-kurangnya dos pertama dan 88 peratus untuk dos kedua, lapor Kosmo.
“Langkawi turut mempunyai hotel khas bagi tujuan kuarantin yang mempunyai 120 bilik dan bagi pelancong yang tidak mampu, mereka boleh memilih untuk menggunakan kemudahan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 dengan 100 buah katil.
“Kami menyasarkan untuk menerima kunjungan 400,000 pelancong sepanjang tempoh tiga bulan setengah ini sehingga akhir tahun,” katanya dalam sidang akhbar bersama AirAsia yang diadakan secara maya semalam.