Penjaga gol JDT, Farizal Marlias sekali lagi tertewas selepas kapten KL City, Paulo Josue berjaya memanfaatkan peluang dengan melakukan voley pada minit ke-74, menjadikan kedudukan kepada 2-0 dan ianya kekal hingga ke wisel penamat.
Kejayaan KL City FC memenangi Piala Malaysia edisi ke-100 tahun itu nyata mencuri perhatian orang ramai apabila penyokong mereka menggunakan media sosial sebagai platform untuk meraikan kemenangan tersebut.
Malah ramai yang turut berpuas hati dengan mutu permainan yang ditunjukkan pemain dari kedua-dua pasukan khususnya penjaga gol KL City, Kevin Mendoza yang begitu cemerlang menafikan beberapa percubaan berbahaya daripada pasukan Harimau Selatan itu.
Menteri Besar Kedah ucap tahniah
Namun siapa sangka, kehangatan tersebut turut menarik perhatian Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), yang juga Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Muhammad Sanusi menerusi perkongsian di laman Facebook turut dilihat mengambil kesempatan mengucapkan tahniah di atas kemenangan KL City.
“Siapa ada gambar rimau”
Namun beliau tidak lama kemudiannya memuat naik satu lagi hantaran berbunyi : “Siapa ada gambar harimau jalan tersipu-sipu?.”
Meskipun tidak menyebut sebarang nama, ramai yang mengaitkan soalan yang dikemukannya adalah satu sindiran terhadap JDT yang terkenal dengan jolokan Hariman Selatan di atas kekalahan berkenaan.
Ramai yang kemudiannya turut berkongsi beberapa foto harimau di ruangan komen seolah memberikan ‘jawapan’ kepada ‘soalan’ yang diajukan Sanusi.
Apa-apa pun tahniah kami ucapkan kepada KL City FC di atas kejayaan mereka dan tahniah juga kepada JDT kerana aksi cemerlang mereka sepanjang musim antaranya menjuarai Liga Super Malaysia 2021.
Sebagai info, Kedah FA sebelum ini tumpas di tangan JDT pada suku akhir Piala Malaysia dengan agregat 1-0.