Barang naik melampau: Pas suruh ambil iktibar surah Yusuf

Barang naik melampau: Pas suruh ambil iktibar surah Yusuf

 

MASALAH kenaikan harga barangan yang tidak pernah berkesudahan adalah hakikat dari sistem ekonomi tidak berteraskan hidayah serta panduan Allah S.W.T. Terbukti ia telah menimbulkan banyak akibat buruk kepada negara-negara dunia dan memberi tekanan ke atas kehidupan manusia seluruhnya.

Selain muslihat penipuan, manipulasi dan monopoli begitu banyak, sistem ekonomi ciptaan manusia yang diamalkan kini juga penuh dengan penindasan dan kezaliman. Paling ketara, ia tidak mempunyai daya tahan yang ampuh untuk menghadapi cabaran sebagaimana ujian global pandemik COVID-19.

Bencana kesihatan ini sudah cukup menyebabkan ekonomi sedunia seperti dibadai taufan yang meruntuhkan kemampuan bukan sahaja pengguna awam, tetapi semua pihak di dalam kitaran pasaran. Baik peniaga, peruncit, pengedar, pemborong, pembekal mahupun pengeluar, kini sedang dihimpit sengsara.

Bahkan turut menggugat kemampuan institusi-institusi kewangan, termasuk juga kerajaan atau pemerintahan untuk kekal berfungsi atau bertahan. Iktibar ini harus menjentik akal fikiran semua pihak untuk berpaksi kepada sistem ekonomi yang penuh keadilan dan dapat memberdayakan secara seimbang.

Antara wajib dijadikan pedoman lebih-lebih lagi kepada Muslim dan Mukmin serta kerajaan yang menjadikan Islam sebagai tonggaknya adalah panduan al-Quran, antaranya dari surah Yusuf. Ianya antara kaedah Islam yang dapat menjadi penyelesaian kepada semua faktor dan akibat kenaikan harga barangan.

Semua barangan kegunaan harian yang menjadi keperluan asas kehidupan mestilah menjadi portfolio difokuskan kerajaan untuk dipastikan sentiasa mencukupi pada setiap masa. Contohnya makanan yang hampir semuanya bersumberkan dari hasil atau pengeluaran pertanian.

Kerajaan perlu terlibat dalam seluruh aliran dari usaha asas hingga keperluan tersebut sampai kepada rakyat selaku pengguna. Baik perundangan, insentif kepakaran dan kewangan, penyampaian serta kawalan penguatkuasaan dan juga simpanan perbekalan, mestilah diadakan.

Bermakna juga, ia dimiliknegarakan dan ditadbir urus secara terjamin atau stabil untuk menghadapi sebarang kemungkinan atau risiko yang boleh terjadi. Ketika ini, banyak barangan tersebut bukan sahaja tidak mencukupi di mana terpaksa diimport, tetapi juga wujud pelbagai spekulasi yang menimbulkan isu harga barang.

Pihak-pihak lain dalam kalangan individu, syarikat, NGO, agensi dan institusi yang tidak berkepentingan keuntungan juga boleh dilibatkan dalam menjayakan inisiatif atau program berkaitan. Begitu juga pengagihan kekayaan dari pihak berada kepada golongan memerlukan serta menunaikan hak atau perjanjian yang termaktub.

Kerajaan juga di atas dasar mencari keberkatan dan meninggikan ketakwaan, mesti membersihkan ekonomi negara dari setiap sumber yang haram seperti arak dan judi serta lain-lain. Segala ruang membiaknya virus ekonomi gelap dan jenayah mestilah ditutup serapatnya.

MOHAMAD RAZIS ABDUL RAHMAN
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Negeri P.Pinang
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Kawasan Balik Pulau