Rakyat ‘dipaksakan’ beratur panjang untuk bayar saman, sanggup cuti cari rezeki

Rakyat ‘dipaksakan’ beratur panjang untuk bayar saman, sanggup cuti cari rezeki

Seorang peniaga sanggup menutup operasi perniagaannya untuk sama-sama beratur panjang bagi melunaskan bayaran saman trafik pada tawaran sebanyak 80 peratus di sini pada Sabtu.

Azahar Alang Ahmmad, 56, yang khuatir perlu menunggu lama untuk mendapatkan giliran membayar mengambil keputusan menutup operasi kedai makannya di Batu Gajah dekat sini.

Dia yang hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah sejak jam 8 pagi selesai membuat bayaran sekitar jam 3 petang iaitu selepas hampir tujuh jam menunggu.

“Saya sampai awal dengan harapan bolehlah selesai cepat, tetapi rupanya orang dah ramai, waktu saya beratur itu pun ada dekat 100 orang beratur sama.

“Panas memang lah panas sebab beratur lama, tetapi apa boleh buat, masing-masing nak selesaikan saman, rugi kalau tak buat (bayaran), dapat diskaun banyak,” katanya kepada Sinar Harian.

Azahar Alang berkata, dia berjaya menjelaskan lima saman tertunggak dengan kadar bayaran RM270 sahaja berbanding nilai asal hampir RM1,500.

“Kalau ikutkan nak bayar secara online sahaja, tetapi diberitahu sistem ada gangguan, sebab itu saya datang ke balai untuk bayar,” katanya.

Mohd Firdaus Abdullah, 55, dari Buntong pula berkata, sudah dua hari berturut-turut dia hadir ke IPD Ipoh untuk menyelesaikan bayaran saman tertunggak.

Katanya, kali pertama pada Jumaat membayar saman sendiri dan datang semula untuk membantu bayaran saman kenderaan ahli keluarga dan rakan.

“Semalam saya tunggu giliran dari jam 10 pagi sampai 5 petang baru selesai, hari ini datang awal sikit jam 9 pagi, tapi dah jam 3 petang giliran masih belum sampai,” katanya.

Dia mengakui tidak kisah perlu beratur dan menunggu lama kerana memahami sambutan orang ramai terhadap tawaran kompaun berkenaan.

“Kerajaan buat keputusan baik bila tawarkan diskaun sampai 80 peratus, kebiasaannya 50 peratus sahaja, sebab itu semua orang berpusu-pusu nak bayar,” katanya.

Kakitangan swasta, Khoo Kay Kim, 40, yang tidak dapat membuat bayaran saman ketika hadir ke IPD Ipoh sedikit kecewa dan berharap masih mempunyai peluang pada hari terakhir esok.

Katanya, kesibukan kerja membuatnya hanya berkesempatan hadir ke balai polis pada hari cuti sahaja.

“Saya ingat hari cuti tak ramai orang, rupanya ramai juga. Kalau sistem online boleh digunakan, mungkin saya tak perlu datang dan beratur seperti ini,” katanya.

Tinjauan di IPD Ipoh dan Batu Gajah mendapati, ramai pengunjung yang hadir pada sebelah petang diarah berpatah balik kerana bilangan senarai menunggu sudah ramai.

Walaupun beratur panjang, anggota polis memantau kelancaran dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) termasuk mengelak kesesakan orang ramai.