Panas! Peja suruh Idris Haron belajar mengaji

Panas! Peja suruh Idris Haron belajar mengaji

BERSATU menolak cadangan bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron agar Perikatan Nasional (PN) bersama Pakatan Harapan (PH) berdepan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu cadangan tersebut tidak mungkin dapat direalisasikan.

“Saya ingat cadangan beliau (Idris) bukan cadangan yang tak baik. Cadangan untuk menyatupadukan sesiapa adalah cadangan yang baik. Tapi kalau nak campur air laut dengan air tawar kemudian bela ikan, itu bukan cadangan yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Perhimpunan Agung Bersatu di ibu negara hari ini.

Mengulas lanjut Ahmad Faizal mencadangkan supaya Idris belajar mengaji bagi mengisi masa lapang selepas tidak lagi bergelar wakil rakyat susulan tewas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bulan lalu.

Menurut Menteri Belia dan Sukan itu, selepas tidak lagi menjadi Menteri Besar Perak, beliau banyak menghabiskan masa dengan mengaji dan membetulkan bacaan dalam solat lebih lapan bulan.

“Saya cadangkan kepada Idris sebagai kawan lama, selepas tak jadi MB Perak saya cuti lapan bulan belajar mengaji, saya belajar betulkan bacaan dalam solat, tentu Datuk Seri Idris ada banyak masa untuk berbuat begitu,” katanya.

Terdahulu Idris dalam temubual bersama portal Malaysiakini dilaporkan berkata PH dan PN pimpinan Bersatu perlu bersama-sama melawan BN dalam PRU15.

Idris yang kini bersama PKR berkata, PH memerlukan faktor ‘wow’ untuk memenangi PRU15.

“Kena ada satu wow factor, mesti ada sesuatu besar berlaku dalam PH. Saya lihat kalau PH pergi solo, kita mungkin hadapi kesukaran mendapat sokongan pengundi-pengundi yang ikut parti.

“Jadi saya melihat faktor wow tu, salah satunya kalau ada kerjasama antara PH dan PN semula,” katanya.