Selepas dipecat Pas, Khairuddin persoal tentang kerjasama Pas-Umno
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata hukum untuk mengusahakan perpaduan antara Pas dan UMNO dari segi syarak wajib dan bukannya sunat.
Beliau yang baru sahaja dipecat sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusatpada Jumaat itu berkata, menjadi tanggungjawab pemimpin untuk memperkasakan dan menyuburkan lagi perpaduan antara kedua parti tersebut melalui Muafakat Nasional (MN).
“Menjadi tanggungjawab pemimpin untuk memperkasakan dan menyuburkan lagi perpaduan yang telah berjaya dibina ini kerana perpaduan antara umat Islam dari dua kelompok besar melebihi empat juta ahli ini. Pada hukum syaraknya wajib diusahakan bukannya sunat.
“Mereka yang cuba merobohkan perpaduan ahli dua parti Melayu Islam tentulah mereka yang berkepentingan diri dan berhawa nafsu duniawi bukan demi kepentingan umat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Jumaat.
Pengguguran Mohd Khairuddin daripada jawatannya sebagai AJK Pas Pusat itu disahkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada Jumaat.
Abdul Hadi bagaimanapun enggan mengulas apabila ditanya mengenai punca sebenar penyingkiran Mohd Khairuddin yang juga bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi.
Dalam pada itu, Mohd Khairuddin berkata, MN yang dimeterai pada 14 September 2019 itu telah berjaya mendamaikan dua kelompok umat Islam berbangsa Melayu yang ‘berperang’ lebih 41 tahun sejak 1978 kerana politik.
“Ramai yang menangis kesyukuran kerana perpaduan ini.
“Ia bukan isu perpaduan pemimpin kerana pemimpin politik meskipun bergaduh masih boleh duduk semeja makan dan minum senyum dan tawa tetapi ia melibatkan hubungan ahli marhaen yang lurus dan tulus dengan parti masing-masing,” ujarnya.