Cukuplah 3 dos, jangan jadikan rakyat sebagai uji kaji
TIMBALAN Presiden Penyatuan Ummah Malaysia, Zamil Ibrahim meminta Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berhenti menjadikan rakyat Malaysia sebagai tempat uji kaji dos vaksin Covid-19.
Menerusi hantaran video di Facebooknya, Zamil berkata, beliau menyifatkan tiga dos vaksin termasuk dos penggalak sudah cukup untuk rakyat dan berharap tiada lagi dos susulan diberikan.
“Hari ni (semalam) saya cucuk dos penggalak, dos ketiga. Untuk pengetahuan KJ, cukup setakat tiga dos buat rakyat Malaysia.
“Kalau hendak ada empat dos, lima dos kamu buat uji kaji pada diri kamu, pada keluarga kamu ataupun pada menteri, anak menteri dan pada anak-anak VVIP sekalian,” katanya.
Dalam pada itu, Zamil berkata, Khairy perlu mendengar nasihat daripada pihak yang berkepakaran dan mengambil tahu tentang isu yang berlaku kepada rakyat.
“Kamu belajar kedoktoran daripada universiti mana KJ?. Saya difahamkan dunia luar paling tinggi pun dua dos.
“Tapi Malaysia negara yang sangat dasyat bagi pada rakyat sehingga tiga dos,” katanya.
Disember lalu, media melaporkan, kumpulan teknikal Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mengkaji keperluan memberikan suntikan dos penggalak keempat, susulan ancaman penularan jangkitan Omicron.
Khairy menjelaskan pihaknya mengambil maklum berhubung kajian yang mendapati pemberian dos penggalak Pfizer kepada penerima suntikan primer jenis Sinovac adalah tidak mencukupi bagi membendung jangkitan Omicron.
Sehubungan itu, katanya, kumpulan teknikal KKM akan mengemukakan syor berkaitan kepada Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) selepas kajian berkenaan dimuktamadkan.