King of the road rempuh kubur pula, namun ini punca sebenarnya
KEKURANGAN gula dalam darah dan pitam punca seorang wanita warga emas gagal mengawal Myvi dipandunya hingga terbabas di Tanah Perkuburan Islam Forest Heights dekat Senawang, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, wanita berusia 60 tahun berkenaan dikatakan baru sahaja selesai menziarahi kubur arwah suaminya di tanah perkuburan itu seorang diri.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof, berkata warga emas itu secara tiba-tiba pitam di dalam kenderaan sehingga menyebabkan kenderaan yang dipandunya bergerak ke hadapan.
“Ketika hendak bergerak keluar dari tanah perkuburan tersebut, pemandu kereta itu berada dalam keadaan kekurangan gula dalam darah sebelum pitam di dalam kenderaannya.
“Ini menyebabkan kereta itu bergerak ke hadapan secara tidak sengaja lalu melanggar dua tapak perkuburan di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Nanda berkata, insiden itu menyebabkan dua tapak perkuburan mengalami kerosakan manakala wanita warga emas terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kereta dipandu itu juga hanya mengalami kerosakan kecil di bahagian hadapan dan pemandu wanita telah pun menerima rawatan yang sewajarnya.
“Anak kepada wanita warga emas itu juga telah hadir membuat laporan dan memaklumkan akan bertanggungjawab untuk membaiki segala kerosakan melibatkan tapak perkuburan terjejas,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial hari ini beberapa gambar kejadian sebuah kereta Perodua Myvi yang merempuh beberapa kubur di sebuah tanah perkuburan Islam.
Kenderaan yang sinonim dengan gelaran ‘King’ bagi netizen itu kerana sering terbabit pelbagai insiden termasuk kemalangan maut, pemanduan laju dan pelbagai kejadian lagi, kali ini dirakam melanggar kubur pula.