Katak politik dalam PN sentap dengan tawaran BN, kata Zahid

Katak politik dalam PN sentap dengan tawaran BN, kata Zahid

ENAKMEN Anti Lompat Parti yang ditawarkan menerusi manifesto Barisan Nasional (BN) pada 1 Mac lalu, antara lain adalah iltizam untuk memastikan kestabilan politik.

Malah Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata gabungan itu turut menawarkan dasar yang mewajibkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Perikatan Nasional (PN) selaku kelab nasional katak-katak politik sudah dijangka tersentap dengan tawaran begini. Mereka tidak akan sesekali menawarkan perkara sebegitu.

“Mana tidaknya, sudah pastilah undang-undang yang menghalang amalan lompat parti akan memusnahkan masa depan PN, khususnya Bersatu yang tertubuh atas dasar meraikan amalan melompat parti.

“Tanpa lompat parti, Bersatu akan runtuh. Lebih ramai jaguh lompat parti bimbang akan keputusan PRN Johor. Bagi mereka pula PRU akan datang amat mengerikan kerana nasib si pelompat parti akan dihukum oleh rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata terbaharu Pakatan Harapan (PH) semalam menawarkan perkara sama dengan BN, iaitu untuk menggubal Enakmen Anti Lompat Parti.

“Sebelum ini mereka lantang menuduh kita dengan bermacam-macam gelaran dan fitnah. Hari ini, tanpa rasa malu, mereka cedok segala usaha dan iltizam kita.

“Nampak benar yang mereka sudah ketandusan idea. Dan sangat jelas bahawa dasar BN adalah sesuatu yang menepati keperluan Johor dan rakyatnya.

Pada saya, biarlah rakyat yang menilai dan menghukum mereka pada 12 Mac nanti. Yang pasti, BN akan terus berikhtiar membawa Kestabilan Masa Depan,” katanya.