Ingat! Anda akan dipenjara dan didenda RM2k kalau kantoi tak puasa
Mana-mana umat Islam yang berada di Kelantan dan ditangkap tidak menunaikan ibadah puasa pada bulan Ramadan akan dikenakan hukuman yang berat mengikut Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019.
Boleh dikatakan, setiap tahun mesti akan ada isu umat Islam yang ‘kantoi’ tak berpuasa pada bulan Ramadan kan? Dah la tak puasa, makan di khalayak ramai pula tu tanpa sebab yang munasabah.
Menerusi laporan Awani, Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) Dr Hasnan Ramli mengatakan hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara dua tahun akan dikenakan kepada pesalah.
Sebelum ini, hukuman bagi kesalahan tidak berpuasa hanya denda sehingga RM1,000 atau penjara sehingga setahun, tetapi kali ini hukuman lebih berat menanti pesalah selepas enakmen itu baharu diluluskan November lepas.
Sepanjang Ramadan ini juga, 60 penguat kuasa JAHEAIK akan menjalankan pemantauan di kira-kira 50 lokasi panas, dengan dibantu 700 sukarelawan Skuad Amru.
Antara lokasi yang akan menjadi tempat berkumpulnya mereka yang tak berpuasa ni adalah di restoran milik orang bukan Islam, kawasan tangga di pasar raya dan kawasan-kawasan tersembunyi.
Tindakan tegas akan dikenakan kepada mereka yang tidak menghormati bulan Ramadan dan yang mengulangi kesalahan dan ditangkap buat kali kedua.
Tindakan juga boleh diambil terhadap mereka yang membekal dan menjual makanan kepada individu tidak berpuasa mengikut enakmen tersebut.
Semoga kita semua dapat menjalankan ibadah puasa dengan sempurna pada tahun ini. Kalau tak ada sebab yang munasabah untuk tidak berpuasa tu, janganlah ponteng. Cuba lakukan yang terbaik untuk jadi umat Islam yang terbaik, okay? Selamat berpuasa!