Menantu Hadi mengaku ketuai gerakan singkirkan Jebon dalam Pas

Menantu Hadi mengaku ketuai gerakan singkirkan Jebon dalam Pas

Pemimpin Pas yang terbabit dalam usaha terancang mempercepatkan proses hukuman penjara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak wajar disingkirkan daripada parti jika dokumen didedahkan oleh PasLeak adalah benar dan sahih.

Bagaimanapun, menantu Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Zaharudin Muhammad mempersoalkan kesahihan dokumen minit mesyuarat atau PasLeak yang didakwa mengandungi perancangan sulit untuk menjatuhkan pemimpin UMNO.

Zaharudin yang juga bekas ahli Majlis Syura Ulama Pas berkata, beliau akan menentang keras usaha mempercepatkan hukuman penjara ke atas beberapa pemimpin UMNO terbabit jika dokumen berkenaan adalah benar.

“Isu PasLeak ini bagi saya pokok asasnya kesahihan berita tersebut. Jika betul, bukan sahaja UMNO, bahkan saya sendiri bukan sahaja tidak bersetuju, bahkan menentang sekeras-kerasnya tindakan tidak bermoral ini.

“Jika benar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (Menteri Besar Terengganu) dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Setiausaha Agung Pas) terlibat, insya-ALLAH saya sendiri akan ketuai satu gerakan untuk singkir pemimpin seperti ini dan kumpulannya, sebagaimana saya pernah ketuai gerakan singkirkan ‘Jebon'”, katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, Zaharudin berkata, beliau mempertikaikan kesahihan dokumen berkenaan kerana biasanya jika ada rancangan dan strategi seumpama itu, pihak berkenaan akan memastikan tiada sebarang bukti wujud.

“Tetapi masalahnya betulkah dokumen itu? Lagi pula saya pelik, biasanya rancangan itu mana-mana strategi pun, mereka tak dokumenkan. Jadi, bila ada dokumen, saya agak pelik sikit,” katanya.

Dalam pada itu, Zaharudin juga menegaskan penyatuan ummah seperti Muafakat Nasional (MN) amat penting diwujudkan namun bukan untuk kepentingan Pas mahupun UMNO tetapi untuk kepentingan umum.

“Penyatuan ummah terutamanya MN sangat penting. Bukan untuk Pas mahupun UMNO tapi untuk ummah. Kes seperti ini boleh merosakkan kesatuan ummah,” katanya.

Penularan keratan dokumen sulit dipercayai minit mesyuarat pemimpin PN untuk menjatuhkan UMNO dan BN atau lebih dikenali ‘PasLeak’ sejak Selasa, menggemparkan landskap politik tanah air.