Adik bekas penyerang Harimau Malaya hilang ketika pulang dari sekolah

Adik bekas penyerang Harimau Malaya hilang ketika pulang dari sekolah

 

Adik bekas penyerang Harimau Malaya hilang ketika pulang dari sekolah

Adik perempuan kepada bekas penyerang Harimau Malaya, Hadin Azman, dilaporkan hilang sejak 11 hari lalu.

Nur Khalisya yang berusia 16 tahun dikatakan hilang ketika pulang dari sekolahnya di Jalan Peel, di sini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad LazimIsmail, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan remaja itu yang kali terakhir dilihat pada jam 5 petang 25 Februari lalu.

Beliau berkata, ibu remaja itu yang berusia 44 tahun membuat laporan polis jam 11.29 malam hari sama memaklumkan menghantar anaknya ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent di Jalan Peel pada jam 7 pagi.

Wanita itu, katanya kemudian datang semula ke sekolah pada jam 4 petang untuk mengambil anaknya pulang kerana remaja itu memaklumkan mempunyai kelas tarian.

“Bagaimanapun selepas menunggu hampir 40 minit anaknya tidak ada dan pengawal keselamatan sekolah juga memaklumkan tiada lagi pelajar berada di sekolah pada waktu itu.

“Pengadu kemudian menghubungi rakan sekelas anaknya dan dimaklumkan bahawa anaknya telah pulang ke rumah sendirian dengan berjalan kaki jam 5 petang dari kawasan Taman Permainan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Laksamana Jalan Peel, di sini.

“Sehingga laporan polis dibuat anak pengadu tidak dapat dijumpai,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju memohon bantuan orang ramai untuk mengesan remaja hilang itu.

“Kali terakhir remaja itu dilihat memakai baju sukan SMK Convent berwarna biru dan berseluar trek warna hitam.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi IPD Wangsa Maju di talian 03-92810715 atau mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Hadin memaklumkan mengenai kehilangan adiknya itu.