Anwar buka mulut isu 4 ADUN lompat di Melaka

Anwar buka mulut isu 4 ADUN lompat di Melaka

 

EMPAT bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang menarik sokongan kepada Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali belum membuat permohonan secara rasmi menyertai Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata keempat-empat Adun tersebut belum mengemukakan permohonan secara rasmi walaupun telah menyatakan hasrat mereka mengenai perkara itu.

“Oleh itu, kita harus menunggu dan kita tidak mahu membuat persiapan (perkara) dan memberi mereka masa serta beri mereka peluang untuk melibatkan diri (dengan PH) terlebih dahulu,” katanya selepas mesyuarat Majlis Presiden PH hari ini.

Mengulas mengenai penolakan DAP terhadap Adun Pengkalan Batu, Datuk Horhizam Hassan Baktee, Anwar berkata PH mengambil maklum dan menghormati pendirian parti tersebut.

Katanya, perbincangan lanjut akan dibuat sekiranya PH telah menerima permohonan keempat-empat Adun itu.

“Kita tunggu dulu, tapi kita hormati juga melihat DAP dan kita faham alasan (mereka). Tetapi oleh kerana perkara itu belum menjadi permohonan, perbincangan yang serius jadi kita tidak bincang lebih daripada itu,” katanya menurut laporan Malaysiapost.

Terdahulu, Anwar menegaskan kehadiran empat bekas Adun tersebut dalam satu majlis di negeri itu baru-baru ini, hanyalah jemputan untuk mengucapkan terima kasih.

Katanya, ia tidak bermakna kesemua mereka telah diterima untuk menjadi calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November depan.