Ayam mahal suruh makan itik, ini penjelasan menteri
MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menafikan ada mengeluarkan kenyataan menggesa orang ramai makan itik susulan peningkatan harga ayam.
“Saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti ini yang tidak sensitif dan seperti mempersendakan rakyat yang sedang dalam kesusahan.
“Sebagai seorang yang datang dari kawasan pedalaman di Kapit Sarawak, isu-isu seperti ini sememangnya amat dekat di hati saya dan bukanlah sesuatu yang boleh dipermainkan,” katanya menerusi Facebook.
Alexander berkata, beliau serta semua warga KPDNHEP amat mengambil serius isu-isu kenaikan harga barangan yang menekan rakyat.
“Justeru, sebagai menteri, tentunya saya sentiasa berusaha mencari jalan penyelesaian bagi isu seumpama ini.
“Tetapi, usaha-usaha ini memerlukan sedikit masa kerana melibatkan pelbagai kementerian dan agensi lain sebelum kerajaan dapat memberikan satu penyelesaian yang memberikan manfaat kepada semua pihak yang terlibat,” katanya.
Menurutnya, isu kenaikan harga barangan bukan sahaja dihadapi Malaysia, namun membelenggu dunia.
“Ini adalah kesan daripada penularan wabak Covid-19 yang telah melumpuhkan aktiviti ekonomi sejak sekian lama.
“Maka, saya mohon kepada semua Keluarga Malaysia, janganlah kita mengeruhkan lagi keadaan dengan menyebarkan perkara-perkara berunsur fitnah seperti ini,” katanya, memetik laporan Malaysiapost.