Banjir besar Baling: MB Kedah kata tak adil salahkan pengusaha musang king
TIDAK adil menyalahkan pengusaha ladang durian Musang King di Gunung Inas susulan fenomena kepala air yang menjejaskan beberapa kawasan sekitar Kupang di Baling semalam.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor sebaliknya berkata apa juga dakwaan mestilah dibuktikan secara saintifik.
Pada masa sama katanya, aliran air hujan yang terkumpul di aluran Gunung Inas antara penyebab utama kejadian kepala air serta banjir lumpur di 12 kampung berhampiran.
“Belum dapat disahkan sama ada ia kerana ladang durian. Kita tak boleh lumur (tuduh) semua kat dia (pengusaha ladang), kesian kat dia juga.
“Saya bukan kesian apa, kita kena sahkan secara bukti saintifik dan nyata, kalau tidak ia tidak adil,” katanya memetik laporan Malaysia Gazette.
Beliau berkata demikian pada sidang media di pusat gerakan operasi bencana di Baling hari ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi, beliau pernah mengeluarkan arahan pada 2020 supaya pengusaha ladang durian melakukan penanaman semula di kawasan yang telah digondolkan di Gunung Inas.
“Saya dapati mereka ada tanam pokok-pokok, tapi ia mungkin tidak mampu untuk menyerap aliran air hujan yang banyak,” katanya.
Menurutnya, fenomena kepala air kali ini, sama seperti yang berlaku di Gunung Jerai pada tahun lalu yang mengakibatkan daerah Yan terjejas teruk.
Kejadian kepala air di Baling mengakibatkan 627 mangsa daripada 12 kampung terjejas, selain tiga mangsa meninggal dunia akibat dihanyutkan arus.