Bengang WIFI perlahan, penyewa cekik & ugut bunuh tuan rumah
Berang dengan sambungan WiFi perlahan, seorang lelaki bertindak luar kawalan mencekik dan mengancam untuk membunuh pemilik rumah yang disewanya. Kejadian dilaporkan berlaku di Singapura.
Pada 16 Mei lalu, Li Xin, seorang lelaki warga China sedang bermain permainan video di telefon bimbitnya. Menurut laporan, sambungan WiFi pada ketika itu tidak kuat, membuatkan Li Xin berjumpa dengan tuan rumah dan memberitahunya tentang perkara ini.
Pada ketika itu, hanya Li Xin, 30, dan pemilik rumahnya yang berusia 61 tahun berada di dalam rumah tersebut. Perjumpaan tersebut akhirnya berubah kepada perselisihan faham dan akhirnya mereka bergaduh berkenaan WiFi.
Li Xin bertindak mengeluarkan sebiah pisau sepanjang 14 sentimeter dari belakang seluar pendeknya lalu mengugut untuk membunuh wanita itu. Lelaki ini kemudian mengheret tuan rumah masuk ke dalam bilik lalu menghempasnya ke atas katil.
Selepas beberapa ketika, seorang penyewa lain pulang ke rumah itu membuatkan tuan rumah berjaya melarikan diri dan menyorok di dalam bilik penyewa tersebut. Mereka berjaya menghubungi polis selepas beberapa ketika.
Li Xin ditahan pada keesokan harinya dan dihadapkan empat pertuduhan kerana menggunakan kekerasan, mencekik, menyebabkan kekacauan dan mengancam untuk membunuh pemilik rumah.
Untuk rekod, Li Xin dikenakan hukuman penjara lima bulan selepas hukuman yang dimohon oleh pendakwa raya dipersetujui oleh hakim.