Gempar! Najib tidak mengaku kenal Altantuya
BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempersoalkan tindakan Veteran DAP, Lim Kit Siang yang terus mengaitkan dirinya dengan beberapa kes kematian berprofil tinggi termasuk Altantuya Shaariibuu.
Menerusi hantaran Facebooknya, Najib berkata, tidak ada sebarang bukti atau gambar yang sahih bahawa beliau pernah mengenali semua individu berkenaan.
“Ini saya sangat keliru dan mohon penjelasan Uncle (Kit Siang).
“Tidak pernah ada sebarang bukti atau gambar sahih (bukan edit, ya) bahawa saya pernah kenal dengan mendiang Teoh Beng Hock, Altantuya, Kevin Morais, Hussan Najadi, Teoh Beng Hock dan Ahmad Sarbani,” katanya.
Najib berkata, semua individu yang dinyatakan itu juga tidak pernah berurusan dengannya atau merupakan saksi bagi kes-kes mahkamah beliau.
“Tapi boleh pulak geng DAP kaitkan kematian mereka pada saya secara berterusan selama lebih 10 tahun,” katanya.
Sementara itu, Najib juga menyoal Kit Siang sama ada menyedari bahawa anaknya, Lim Guan Eng pernah berurusan atau mengenali Ewe Swee Kheng, iaitu CEO pemaju harta tanah Ewein Group.
Dalam hantaran itu, Najib turut memuatnaik tangkap layar laporan media berkaitan projek pembangunan mega di Pulau Pinang yang dipercayai terdapat gambar Guan Eng dan CEO Ewein Group.
“Jadi, apa pendapat Uncle berhubung gambar-gambar ini?
“Adakah anak Uncle pernah berurusan atau kenal dengan mendiang boss Ewein yang merupakan antara saksi utama bagi kes rasuah terowong dia ke tidak?,” soalnya.
Najib juga mempersoalkan sama ada Kit Siang turut mengenali individu yang yang ditanda bulat dengan warna kuning dan merah berkenaan.
“Ataupun gambar-gambar dan laporan-laporan media ini berkenaan urusan bernilai berjuta dan berpuluh-puluh bilion Ringgit ini adalah palsu/edit?,” katanya, lapor Malaysiapost.
Pada 5 Oktober lalu, media melaporkan, seorang saksi pendakwaan kes projek terowong dasar laut di Pulau Pinang ditemui mati selepas dipercayai terjatuh dari kediamannya di sebuah kondominium mewah di Jalan Kelawei, Pulau Tikus.
Mangsa berusia 53 tahun yang juga ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat pemaju hartanah terkemuka itu sebelum ini pernah diberkas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun 2018 bagi membantu siasatan kes berkenaan.