Ini 10 juadah popular Bazar Ramadan yang akan naik harga
Kurang dari 10 hari lagi umat Islam akan menyambut Ramadan semestinya bazar Ramadan akan menjadi tumpuan utama orang ramai sepanjang bulan tersebut.
Namun, 10 juadah yang popular dalam kalangan orang ramai dijangka mengalami kenaikan harga berikutan kos bahan mentah untuk menghasilkan makanan itu yang melonjak ketika ini.
Tinjauan Sinar Ahad mendapati antara juadah tersebut ialah roti john, martabak, kuih talam, tepung pelita, lepat pisang, puding karamel, masakan ayam, masakan ikan, ayam golek dan pelbagai jenis air.
Perkara tersebut diakui peniaga, Aminah Zakaria, 66, yang berpandangan kenaikan harga juadah seperti kuih muih dan lauk pauk terpaksa dilakukan ekoran kenaikan harga barang mentah di pasaran.
Katanya, kenaikan harga bermula dari 50 sen hingga RM2 terpaksa dibuat peniaga mengikut jenis juadah yang dijual.
“Tahun ini saya akan naikkan harga lauk pauk dan kuih muih yang dijual bagi menampung kos bahan mentah serta barangan asas yang tinggi ekoran kenaikan harga di pasaran.
“Jika dulu saya boleh jual sebiji kuih contohnya lepat pisang dan kuih bertalam dengan harga 40 sen sebiji, tetapi tahun ini saya terpaksa jual 70 sen hingga RM1 sebiji.
“Begitu juga dengan kuih tepung pelita yang menjadi kegemaran ramai, kalau dulu boleh jual lima biji RM3.50 tetapi tahun ini akan jual RM5 untuk jumlah sama,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Mengulas lanjut katanya, kenaikan harga juadah tidak terhad kepada jenis makanan sahaja malah harga jualan air pelbagai perisa juga akan dinaikkan.
Katanya, harga jualan teh ais madu sebelum ini ditetapkan RM3.50 secawan namun pada Ramadan nanti akan dijual pada harga RM5 sebungkus.
Sementara itu bagi Rohaida Abu, 30, lauk pauk yang dijual pada tahun ini akan dinaikkan antara RM1 hingga RM2 mengikut kuantiti yang diminta pelanggan.
“Nasi lemak ayam goreng berempah tahun ini dijual pada harga RM6 berbanding tahun lalu iaitu RM5 mengikut saiz potongan, begitu juga lauk ikan naik RM1 hingga RM2 seekor mengikut saiz dan harga pasaran semasa.
“Peniaga bukan sengaja mahu naikkan harga jualan, tetapi kena tampung kos bahan mentah yang meningkat,” ujarnya.
HARGA MAKANAN LAUT TIDAK MENENTU
Sementara itu, harga makanan laut seperti ikan, udang dan sotong yang tidak menentu setiap hari menjadi penyebab kepada peniaga untuk menaikkan harga makanan yang dijual.
Pengusaha sebuah restoran, Nor Azlina Osman berkata, dia terpaksa naikkan harga makanan bagi menampung kos bahan mentah yang tidak menentu.
“Contohnya sebelum ini saya caj hidangan nasi bersama ikan dan sayur RM8, kini saya terpaksa naikkan harga purata sekitar RM2 hingga RM3 mengikut saiz ikan dan jenis yang dipilih.
“Namun kenaikan harga itu masih mampu ditanggung oleh pelanggan kerana mereka juga faham harga ikan mentah yang dijual di pasar tidak menentu setiap hari serta mengikut saiz,” katanya ketika dihubungi.
Perkara sama turut dikongsi Nurul Iziaty Zainal Azeman yang menganggap kenaikan harga bahan mentah mendorong peniaga menaikkan harga makanan dan bukan sengaja melakukan sedemikian.
“Minggu lepas saya beli sotong, udang, ikan kembung dan ikan keli, jumlah kesemuanya adalah RM160. Selalunya dengan jumlah wang tersebut, saya boleh dapatkan sehingga enam atau tujuh jenis bahan mentah lain antaranya kerang dan kepah.
“Semalam (Jumaat) saya beli sotong dengan harga RM35 sekilo berbanding RM27 pada dua hari sebelumnya. Udang pula paling murah saya pernah jumpa RM27 tetapi semalam, RM34 (sekilo).
“Jadi, bagaimana kami nak kekalkan harga asal sekiranya harga bahan mentah pun naik mendadak,” ujarnya.
Berlainan pula bagi Fazlina Mohd Yusof, dia yang mengusahakan perniagaan kuih muih dan lauk pauk mengambil pendekatan kekalkan harga beberapa makanan.
“Saya hanya naikkan sekitar 50 sen atau RM1 untuk lauk ikan dan RM1 hingga RM1.50 bagi masakan berasas daging.
“Kalau ayam pula, saya kekalkan harga cuma kena tengok saiz potongan ayam,” ujarnya.