Ini realiti: Orang kaya rindu melancong, orang biasa rindu balik kampung
Sejak semalam media sosial dipenuhi perkongsian gambar dan video susana kemeriahan di Pulau Langkawi yang mula menerima kehadiran pelancong di bawah projek rintis gelembung pelancongan domestik.
Tinjauan Kosmo! di media sosial mendapati orang ramai berharap projek itu berjaya membuktikan rakyat mampu hidup dalam fasa endemik dan menjalani kehidupan seperti biasa.
“Jika berjaya projek rintis ini moga kita boleh rentas ke negeri-negeri dalam Malaysia. Kalau gagal misi ini rayat tidak endah SOP (prosedur operasi standard) ada harapan kita duduk diam di rumah tidak boleh pergi ke mana-mana,” ujar Fazni Fahmi.
“Berjaya atau gagal mereka kesannya pada semua selepas ini ya. Harap projek ini berjaya dan dapat buka banyak lagi gelembung perjalanan. Jadi silalah doa yang baik-baik untuk orang yang bercuti ke Langkawi ini,” komen Jie Ahmad.
“Luar negara semua sudah buka macam biasa. Belajarlah hidup dalam virus ini. Sampai bila hendak berkurung. Kerajaan pun tidak larat asyik bagi bantuan. Tabung hari-hari korek pun boleh kering,” tulis Puan Mell.
“Ramai berfikiran negatif. Ikut merekalah hendak pergi Langkawi atau tidak. Kita kalau tidak berani, duduk sahaja di rumah. Pelancongan ini bantu sektor ekonomi juga,” ulas Cik Lea.
Ramai juga yang berharap projek perintis itu dapat menjadi penanda aras berhubung penyusunan SOP khas buat anak perantau yang ingin pulang ke kampung halaman masing-masing.
“Orang kaya rindu melancong, orang biasa rindu nak balik kampung. Menteri lepas ini tolong buat SOP balik kampung jumpa ayah bonda yang sudah uzur pula. Harap lepas ini ada gelembung balik kampung. Promosikan,” komen Zek Master.
“Minta dijauhkan segala macam gelombang. Harap boleh balik kampung jumpa ibu bapa. Saya nak balik Sarawak,” tulis Kamalriah.
“Lepas ini kalau perjalanan rentas negeri sudah buka ikut SOP yang betul dengan risiko anda sendiri. Pastikan bersedia dengan kit ujian sebelum balik kampung bertemu keluarga,” kata Shazwani Saad.