Kampung Chegar Medang dah macam kampung zombi!
KAMPUNG Chegar Medang di Bentong, Pahang masih bergelap berikutan bekalan elektrik belum pulih sepenuhnya.
Menurut tinjauan Malaysiapost pada malam ini mendapati, kampung ini ibarat kampung ‘berhantu’, berikutan hampir semua penghuninya terpaksa meninggalkan kediaman mereka menjelang malam.
Seorang penduduk yang dikenali Nurul Huda Abhar memberitahu Malaysiapost, penduduk terpaksa bermalam di luar menumpang rumah saudara mara, malah ada yang menyewa bilik hotel berikutan ketiadaan bekalan elektrik sejak banjir enam hari lalu.
“Kami penduduk kampung ini terpaksa bermalam di luar, macam saya dan keluarga menyewa di hotel. Elektrik tak ada lagi.
“Rumah dah lah teruk berlumpur, harta benda rosak, memang menyedihkan dan ujian bagi kami. Saya harap TNB cepatlah baik pulih elektrik kampung kami kerana banyak perkara kami nak lakukan.
“Sebelah siang kami balik ke rumah untuk mencuci rumah. Tapi tak ada elektik memang susah nak bersih gunakan water jet, lumpur tebal,” katanya.
Tinjauan malam ini mendapati, suasana kampung ini ibarat dilanggar garuda, banyak kereta tersadai berlumpur, rosak, keadaan rumah memang menyedihkan.
Terdapat juga beberapa rumah di kampung ini bercahaya menggunakan generator sendiri, kelihatan sedang gigih membersihkan rumah mereka.
Kampung Chegar Medang antara kawasan yang teruk terjejas berikutan banjir luar biasa melanda malam 19 Disember lalu.