Kerajaan perlu campur tangan, jangan bagi kuasa kepada syarikat penerbangan tentukan harga tiket

Kerajaan perlu campur tangan, jangan bagi kuasa kepada syarikat penerbangan tentukan harga tiket

BUKAN hanya Kementerian Pengangkutan, sebaliknya campur tangan Perdana Menteri penting bagi membolehkan syarikat penerbangan tidak mengambil kesempatan menaikkan tambang pada kadar tidak munasabah.

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata Perdana Menteri perlu tegas bagi memastikan beban rakyat yang cukup terjejas akibat pandemik Covid-19 dapat dikurangkan.

“Saya berharap kerajaan akan menangani isu kenaikan harga tiket penerbangan semasa musim perayaan ini dengan baik supaya rakyat tidak terus terbeban.

“Saya juga harap kadar tambang sama ada daripada Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) mahupun AirAsia perlu ditetapkan.

“Rakyat sudah cukup terbebas akibat pendapatan yang terjejas semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Maka, jangan membebankan rakyat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Shafie, ketika ini kadar tambang mencecah lebih RM1,000 hingga RM2,000 sehala bagi penerbangan dari Kuala Lumpur ke Sabah dan sebaliknya menjelang Aidilfitri cukup tinggi.

“Sekiranya harga tiket penerbangan dapat dikurangkan, saya percaya lebih banyak pelanggan menggunakan perkhidmatan penerbangan udara ini untuk pulang ke kampung semasa musim perayaan.

“Keadaan itu sekali gus akan membolehkan syarikat penerbangan menjaga keuntungan tanpa perlu membebankan penumpang yang cukup terjejas akibat pandemik Covid-19,” katanya lagi.